MOHAMED Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP
MOHAMED Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi menyindir Datuk Seri Najib Razak supaya membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkempen bersamanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR dalam dengan nada gurauan berbaur sindiran semalam menyatakan rasa hairan apabila Najib yang kini popular dengan panggilan ‘bossku’ memilih untuk bersendirian mengelilingi kampung menaiki motosikal.

“Jangan main-main... nanti bossku datang naik motor esok dia masuk Kampung Rinching Hilir.

“(Masa itu) adalah budak-budak ikut jerit bossku, bossku, bossku.

“Saya cadang, kalau boleh (Najib) jangan naik seorang. Bawalah yang seorang lagi itu (Rosmah).

“Janganlah jalan seorang-seorang. Bolehlah dia membonceng di atas motor,” katanya yang mengundang tawa hadirin.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di hadapan kira-kira 200 hadiri pada ceramah PH yang di Kampung Rinching Hilir, Hulu Langat malam tadi.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon PH di PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Jumaat lalu, Azmin menyindir Najib berhubung tindakannya menolak troli di sebuah pasar raya adalah cubaan meraih simpati rakyat.

Beliau secara sinis mempersoalkan mengapa hanya bekas Perdana Menteri itu seorang menolak troli berkenaan di Semenyih dan bukannya bersama seorang lagi individu yang dipercayai merujuk kepada Rosmah.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:57 PM