JOHAN tidak mengizinkan pembabitan anak-anaknya dalam karier seni pada masa sekarang. Foto NSTP/ROSELA ISMAIL & Instagram Johan
JOHAN tidak mengizinkan pembabitan anak-anaknya dalam karier seni pada masa sekarang. Foto NSTP/ROSELA ISMAIL & Instagram Johan
Norhayati Nordin


PELAWAK dan penyampai radio Era, Johan, 34, mengakui dia memang tidak mengizinkan pembabitan anak-anaknya dalam karier seni buat masa ini.

Menurut Johan, dia lebih selesa anak-anaknya membesar seperti rakan sebaya mereka yang lain dan memberi tumpuan pada pelajaran.

Johan atau nama sebenar Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz ketika ditemui berkata, tidak dinafikan anak-anaknya memang ada mendapat tawaran daripada pihak yang berminat.

"Malah, ada pihak produk penjagaan bayi sanggup menawarkan bayaran mencecah ratusan ribu ringgit untuk pembabitan anak saya dalam iklan.

"Namun, saya menolaknya kerana mahu mereka memberi tumpuan pada pelajaran masing-masing dahulu.

"Sekarang, bukan masa mereka lagi untuk bekerja mencari duit buat keluarga. Biarlah saya seorang saja sebagai ketua keluarga yang bekerja.

"Lagipun, memang jadi tanggungjawab saya pun untuk cari rezeki buat isteri dan anak-anak. Saya cuma mengharapkan doa anak-anak supaya terus dimurahkan rezeki," katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang didakwa 'demand' soal bayaran, Johan menafikannya dan memberitahu dia hanya meletak harga setimpal.

"Saya bekerja untuk keluarga dan berusaha memberi yang terbaik untuk anak-anak. Jadi, bayaran yang diminta selalunya setimpal dengan komitmen kerja diberi.

"Malah, tak ada orang pun di dunia ini ingin bekerja secara percuma atau mahukan bayaran rendah daripada komitmen yang harus diberikan mereka.

"Saya meminta atau meletak bayaran yang sepatutnya kerana wang penting dalam kehidupan. Apatah lagi, untuk saya yang sudah berkeluarga," katanya.

Johan bertemu jodoh dengan pelakon Ozlynn Wati danberkahwin pada 25 Julai 2009.

Pasangan bahagia ini dikurniakan lima cahaya mata iaitu Ariq, Sodiq, Haziq, Cantiq dan seorang lagi bayi perempuan yang berusia lima minggu.

Ditanya mengenai nama bayinya yang dilahirkan pada 17 Jun lalu, Johan berkata, dia masih belum sedia untuk berkongsi kepada umum lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 2:32 PM