JOHAN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
JOHAN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ramlah Zainal

PELAWAK dan pelakon popular, Johan Raja Lawak mengakui tidak mahu melepaskan peluang keemasan menjayakan pementasan teater Melayu - Pawana Isabella arahan Erma Fatima kerana ia dapat mengukuhkan profil seninya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Johan juga mahu dikenali sebagai anak seni serba boleh.

“Selain pelawak dan pelakon, saya juga dikenali sebagai pengacara dan penyampai radio ERA FM.

“Saya terima tawaran Kak Erma kerana mahu menyahut cabaran beraksi dalam teater bangsawan moden pula,” katanya.

Menurut Johan, sejak awal tahun lagi sudah beberapa kali Erma mempelawanya menjayakan pementasan teater.

“Saya terima tawaran ini selepas banyak kali dipujuk Erma dan dia juga mempelawa isteri saya, Ozlynn untuk turut serta.

“Pada mulanya, Erma beritahu ia sekadar pementasan ringan dan saya serta Ozlynn dapat tahu ia teater bangsawan moden pada hari pertama sesi latihan,” katanya.

Johan ditemui pada sidang media Teater Malayu - Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya mengenai watak, Johan berkata, dia tampil sebagai tukang tilik raja.

“Apa yang menarik, watak tukang tilik ini menampilkan sisi berbeza lakonan saya. Ada juga babak Kak Erma benarkan saya melawak.

“Lebih mencabar, saya perlu menghafal skrip dalam bahasa klasik dan dialog juga tidak boleh diubah.

“Saya akan baca skrip dan hafal dialog sebaik saja selesai tugas di konti radio,” katanya.

Nafi harga pakej

Walaupun Johan dan isteri terbabit dalam pementasan itu, mereka tidak mengenakan harga pakej sebaliknya berdasarkan tugasan digalas, yang dirasakan setimpal dengan peluh yang keluar.

“Antara sebab lain saya dan isteri terima tawaran Kak Erma adalah kerana dia bersetuju dengan harga yang kami tetapkan.

“Kami tidak mengamalkan istilah pakej atau kongsi bayaran biarpun terbabit dalam projek yang sama.

“Harga bayaran saya dan isteri berbeza. Kami ada harga masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Johan mengakui selesa ditemani Ozlynn di lokasi penggambaran.

“Ozlynn sentiasa di sisi saya ketika susah dan senang. Saya tiada masalah jika diminta berlakon dengan isteri kerana sejak dahulu, dia setia menemani saya di lokasi penggambaran,” katanya.

Selain Johan dan Ozlynn, teater arahan bersama Erma dan pengarah muda, Naque Ariffin itu turut dijayakan Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi dan ramai lagi.

Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 hingga 31 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:31 AM