EYRA (kiri) bergandingan dengan Fendy dalam drama Mr Grey. -Foto IG Eyra Hazali
EYRA (kiri) bergandingan dengan Fendy dalam drama Mr Grey. -Foto IG Eyra Hazali
Norhayati Nordin


HEROIN drama Mr Grey, Eyra Hazali, 19, mengakui dia memang boleh bertutur loghat Utara seperti dalam drama yang kini mencuri perhatian ramai itu.

Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali ketika ditemui berkata, dia mampu menguasai loghat Utara itu dengan baik kerana bapanya adalah anak jati Pulau Pinang.

“Ayah dan datuk saya, memang asal Pulau Pinang dan kami masih lagi balik ke kampung kerana ada keluarga yang menetap di sana.

“Apabila berada di kampung ayah, kami sekeluarga akan bertutur dalam loghat Utara sepanjang masa.

“Jadi, secara tidak langsung ia dapat membantu saya menguasainya dengan baik apatah lagi sudah terbiasa sejak dari kecil,” katanya.

Eyra yang sudah aktif berlakon sejak berusia enam tahun berkata, dia tidak menyangka drama adaptasi novel Mr Grey dibintanginya berjaya menjulang bakat lakonannya sekelip mata.

“Saya anggap apa yang diperoleh ini adalah rezeki. Selepas sekian lama saya gigih berusaha tanpa berputus asa, inilah hasilnya.

“Bukan mudah untuk saya berada pada tahap ini kerana pelbagai dugaan pernah dilalui dulu kerana saya bukan dalam kategori pelakon popular.

“Saya ada pengalaman dipinggir ketika sidang media dan nama ditolak untuk tawaran berlakon kerana bukan pelakon gred AA. Semua itu saya anggap sebagai cabaran dan pemangkin semangat untuk buktikan bakat,” katanya.

Eyra yang pernah meraih anugerah Pelakon Drama Televisyen (TV) Kanak-kanak Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2010 menerusi telefilem Anak Anak Lorong ketika berusia 11 tahun memberitahu dia juga mencabar diri ‘ad lib’ dialog sendiri ketika babak bersama seniwati berkaliber, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy dalam drama Mr Grey itu.

“Saya sebagai Nisa Ardina adalah anak kak Ogy dalam drama ini. Hubungan anak-beranak di antara kami agak rapat dan ia adalah pengalaman kali kedua saya berlakon bersama kak Ogy.

“Perasaan bimbang tak dinafikan memang ada pada mulanya kerana kak Ogy adalah pelakon yang hebat. Tetapi, syukur sekejap saja kami sudah dapat mewujudkan keserasian,” katanya.

Dama Mr Grey arahan Riza Baharudin, menggandingkan Eyra bersama barisan pelakon seperti Ogy, Fendy Bakry, Lisdawati, Gambit Saifullah, Mardiana Alwi, Kayda Roslan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 12:42 PM