EYRA mahu terus istiqamah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
EYRA mahu terus istiqamah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri


UNGKAPAN ayat ‘selangkah anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah pula ayahnya itu masuk ke neraka’ membuatkan hati pelakon Eyra Hazali terbuka untuk tampil dengan imej bertudung sejak Ahad lalu.

Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 20, berkata, niat untuk bertudung dan menutup aurat sudah lama terdetik, tetapi dia belum temui keyakinan diri apabila sentiasa memikirkan soal masa depan kerjaya lakonan dan tanggapan orang ramai terhadap perubahan drastik ini.

“Bagaimanapun, Ahad lalu saya nekad untuk tampil bertudung apabila terbaca dan terfikir mengenai ayat itu.

“Ia benar-benar memberi kesan kepada diri saya hingga saya nekad untuk berubah. Lagipun keputusan ini dibuat bukan hanya untuk diri saya, tapi kerana Allah serta keluarga. Saya ingin mulakan kehidupan baru,” katanya yang popular menerusi drama bersiri Mr Grey.

SUDAH lama terdetik untuk bertudung. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
SUDAH lama terdetik untuk bertudung. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.

Menurut Eyra, dia mengaku keluarga serta tunangnya yang juga penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan bawah 22 tahun, Muhammad Haziq Nadzli terkejut dengan imej barunya itu.

“Bukan saja tunang terkejut, malah keluarga saya juga tak sangka saya mengambil keputusan untuk berhijrah ketika menghantar mesej WhatsApp kepada mereka.

“Tunang serta keluarga bertanyakan soalan yang sama iaitu adakah saya sudah benar-benar bersedia dan keputusan yang dibuat ini ikhlas kerana Allah SWT. Mereka juga turut pesan supaya saya tidak ‘ on and off’ bertudung serta umumkan perkara ini apabila saya benar-benar ingin berubah dan membina kehidupan baru,”katanya.

Eyra berkata, dia juga sentiasa berdoa supaya terus kuat dan kekal istiqamah.

“Insya-Allah doakan saya supaya terus istiqamah dalam melalui kehidupan baru ini serta dijauhkan dengan perkara yang tidak baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:02 AM