INTAN Najuwa
INTAN Najuwa
Ramlah Zainal

Hampir dua tahun berlakon, nama pendatang baru Intan Najuwa mula mencuri perhatian peminat industri hiburan tanah air.

Semuanya kerana watak Hanan Khaira lakonannya dalam drama Kekasih Paksa Rela yang bersiaran di Slot Akasia TV3 ketika ini.

Dalam drama bersiri 28 episod ini, Intan berganding dengan Remy Ishak selaku teraju utamanya.

“Saya bersyukur kerana lakonan dalam drama ini mendapat perhatian peminat.

“Terus terang, saya sangat teruja dan pada masa sama gementar di lokasi penggambaran drama ini. Maklumlah, pertama kali saya digandingkan dengan pelakon hebat seperti Remy,” katanya.

Sebagai pelakon baru, pemilik nama sebenar, Intan Najuwa Abdul Wahid, 20, ini juga berdepan dengan cabaran besar untuk melakonkan watak Hanan itu.

“Watak Hanan juga perlu banyak bermain dengan emosi penonton. Paling mencabar babak sebagai suami isteri. Dengan usia muda ini, saya tiada pengalaman bagaimana untuk melayan suami.

“Setiap kali babak romantis, saya akan gementar dan menggigil,” katanya.

Bagaimanapun, kata Intan, Remy banyak membantunya untuk menjiwai watak seperti dikehendaki skripnya.

“Remy juga tidak lokek ilmu dan serius ketika bekerja. Dia juga membantu saya menjiwai hampir setiap babak dalam filem itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan pengarah Idora Abdul Rahman pula, kata Intan, ia sukar untuk dilupakannya.

“Saya menimba ilmu yang sangat berharga dalam filem itu. Idora, pengarah yang bagus dan mudah untuk dibawa berbincang.

“Sepanjang tempoh empat bulan penggambaran drama Kekasih Paksa Rela, banyak ilmu lakonan ditimba dan ia proses pembelajaran untuk saya,” katanya.

Aktif di media sosial

Ditanya mengenai projek drama baru pula, Intan berkata, dia juga dapat tawaran berlakon dalam beberapa projek drama baru ketika ini.

“Walaupun bernaung di bawah pengurusan MIG, saya juga dapat tawaran daripada syarikat lain. Semuanya masih belum diputuskan lagi. Saya juga aktif di media sosial seperti Instagram dan Twitter.

“Peminat juga boleh mengikuti perkembangan terkini saya di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Intan pernah bergandingan dengan pelakon Shukri Yahaya dalam drama bersiri Hantu Punya Bos yang sudah bersiaran di TV3.

Bekas Blogger dari Johor Bahru ini juga pernah berlakon watak pembantu dalam drama Khabar Dari Casablanca dan Gantung pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:32 AM