ZAINUDDIN Mohd Ismail
ZAINUDDIN Mohd Ismail
Ridzuan Abdul Rahman

 

PENERBIT filem genre seram Town Mall, Zainuddin Mohd Ismail, lega apabila filem yang sepatutnya menemui penonton pada 26 Mac lalu itu, ditayangkan bermula hari ini.

  Bagaimanapun karya seni lakonan dan arahan Datuk Seri Eizlan Yusof, serta dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Adam Shahz, Reen Rahim dan Intan Ladyana itu ditayangkan di saluran Astro First.

   Zainuddin mengakui gembira kerana filem pertama terbitannya yang diangkat daripada karya penulis novel seram terlaris itu akhirnya dapat ditayangkan kepada penonton.

   "Dek kerana, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan pihak saya terpaksa menangguhkan tayangan filem Town Mall.

   "Dalam pada saya berfikir cara untuk menayangkannya, tiba-tiba pihak Astro First tawarkan untuk disiar menerusi platform mereka.

   "Sebagai orang berniaga, saya perlu meraih peluang yang ada. Pawagam hanya akan dibuka pada Julai dan pada masa sama, saya lihat giliran filem yang menunggu tarikh tayangan sangat panjang," katanya kepada Harian Metro.

   Menurut Zainuddin, melihat kemungkinan filemnya akan disiarkan pada tahun hadapan serta mungkin perlu bersaing dengan filem box office Hollywood, tindakan menayangkan di Astro First adalah keputusan tepat.

  "Saya pun belum tahu bagaimana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyusun jadual syarat wajib tayang.

   "Kalau filem box office masuk memang saya 'goyang juga' kerana filem kita sangat kecil dan apatah lagi, Town Mall adalah 'bayi sulung' terbitan syarikat saya.

   "Apabila Astro First tawarkan berminat menayangkan filem ini beserta pakej promosi bernilai hampir RM1 juta, termasuk mereka akan uruskan segalanya dari awal hingga akhir, saya dapati nilai komersial ada di situ dan ia satu strategi promosi yang hebat," katanya.

   Ujarnya, sebagai penerbit yang baru pertama kali menghasilkan filem dan tiada pengalaman dalam strategi pemasaran, dia amat menitik beratkan soal publisiti dan promosi.

   "Ia penting bagi memperkenalkan pelakon, penulis novel,  pengarah dan pelbagai pihak lagi. Jadi, ini satu kelebihan buat saya.

   "Bahkan, saya lihat promosi yang diberikan terhadap filem Town Mall sangat hebat.

   "Namun, jika ditakdirkan ia meletup atau dapat sokongan rakyat Malaysia sebagai cara membantu industri, kemungkinan besar saya akan tayangkan juga di pawagam sekiranya ada slot," katanya.

   Katanya lagi, dia juga akan merujuk perkara ini kepada Finas.

   "Kalau mereka izinkan sebagai cara membantu penerbit tempatan, saya pasti akan tayangkan di pawagam juga. Tiada masalah langsung.

   "Juga, kalau sekiranya Town Mall

dapat sambutan, saya akan

sambung bahagian kedua serta seterusnya mengikut kesesuaian jalan cerita.

  "Apatah lagi, orang kita memang suka cerita seram. Mudah-mudahan filem ini diterima. Saya juga sedia terima setiap komen mengenai filem ini samada positif atau negatif kerana ini karya terbitan pertama di layar perak," katanya.

  Zainuddin yang sebelum ini aktif menerbitkan drama turut berharap filem Town Mall tidak menjadi mangsa cetak rompak sama ada di YouTube atau Telegram.

   "Sekiranya perkara ini berlaku, saya akan ambil tindakan kepada mana-mana pihak. Saya juga minta Finas, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan semua yang terbabit ambil 

tindakan sewajarnya terhadap kes ini.

   "Benda (cetak rompak) ini memang dah lama berlaku. InsyaAllah, saya yakin selepas ini pasti ada satu langkah formula untuk membasmi cetak rompak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 8:26 PM