SALAH satu babak dilakonkan Haris Ismail dan Wanna Ali dalam filem Ada Apa Dengan Dosa.
SALAH satu babak dilakonkan Haris Ismail dan Wanna Ali dalam filem Ada Apa Dengan Dosa.
Najiy Jefri


TATKALA pawagam tanah air kembali beroperasi 1 Julai lalu, ia adalah satu khabar gembira buat peminat filem serta penggiat industri tempatan.

Inilah masanya buat kaki wayang melepaskan rindu dengan menikmati kualiti filem menerusi sinematik yang berbeza di layar perak.

Sebagai tanda sokongan penuh kepada pihak pawagam, Astro Shaw mengambil satu lagi inisiatif dengan membawakan filem hebat ke pawagam.

Usaha ini juga secara tidak langsung diharap dapat membantu industri filem tanah air untuk terus bergerak secara aktif dalam berdepan dengan kemerosotan industri pawagam di Malaysia atas kesan daripada Pandemik Covid-19.

Menariknya, Astro Shaw buat pertama kali dalam sejarah industri filem tempatan membawakan filem hebat yang pernah ditayangkan di Astro First semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu kembali ke pawagam.

Langkah strategik ini dimulakan dengan penayangan filem terkini iaitu Syif Malam Raya sejak 30 Julai lalu, diikuti dengan Ada Apa Dengan Dosa bermula 10 September dan Town Mall pada 1 Oktober.

Ketiga-tiga filem terbabit melakar kejayaan tersendiri di Astro First. Seiring dengan rangka pemasaran yang kreatif, Syif Malam Raya berjaya meraih RM3 juta dalam hanya tempoh 10 hari dan itu adalah satu pencapaian luar biasa bagi platform Astro First.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sebagai tanda sokongan kepada penggemar kesemua filem itu, ia dibawa ke pawagam bagi memberi lebih kepuasan.

"Apabila pihak kerajaan membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai lalu, sudah tentu ia adalah satu perkhabaran gembira.

ADEGAN menyeramkan dalam filem Town Mall.
ADEGAN menyeramkan dalam filem Town Mall.

"Sebagai tanda sokongan Astro kepada pawagam, kami bawakan khas tiga filem hebat untuk ditayangkan di layar besar.

"Kesemua filem ini berbeza genre sehingga mencetus fenomena apabila berjaya mengungguli kutipan tinggi di Carta Astro First. Kami yakin pasti ramai yang turut ingin menikmati keseronokan rasa seram komedi Syif Malam Raya, babak menyayat hati anak luar nikah dalam Ada Apa Dengan Dosa dan keseraman yang diinspirasi daripada kisah benar, Town Mall di layar besar.

"Selaras dengan itu, kami ingin beri peluang buat penonton untuk merasai perspektif dan pengalaman sinematik yang berbeza di panggung wayang. Kami mengharapkan inisiatif ini dapat merancakkan kembali industri perfileman tempatan dan sekali gus membantu menjana ekonomi negara," katanya.

Menurut Jastina, pihaknya juga membuka peluang kepada penerbit untuk membawa karya mereka kepada Astro Shaw.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid menyatakan pihaknya menyambut baik dan menyokong usaha Astro dalam membantu penjanaan semula industri perfileman dan pawagam.

"Sudah menjadi tanggungjawab Finas dalam membantu penggiat seni dan pawagam yang terjejas dari pasca Covid -19.

"Apabila pihak Astro mengemukakan langkah proaktif ini, pastinya kami menyambut dengan rasa berbesar hati untuk sama-sama merancakkan semula ekonomi filem tanah air.

"Idea dan konsep yang diperkenalkan Astro ini adalah sesuatu yang baharu dan bagus buat industri. Jadi, pihak kami memainkan peranan dengan menyokong dalam pelaksanaannya.

"Kami harap inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu penerbit filem dan pihak pawagam, malah menjadi motivasi kepada penerbit filem tempatan untuk terus menghasilkan lebih banyak filem berkualiti meskipun dalam keadaan normal baharu sekarang," katanya.

Dalam keterujaan untuk menonton di pawagam, Astro Shaw juga ingin mengingatkan kepada penonton agar sentiasa tingkatkan komitmen dalam aspek kawalan kendiri serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:18 AM