PERSEMBAHAN peserta.
PERSEMBAHAN peserta.
USTAZ Kazim (tengah) selaku mursyid.
USTAZ Kazim (tengah) selaku mursyid.
IZZUDDIN dipeluk rakan dalam Da’i.
IZZUDDIN dipeluk rakan dalam Da’i.
Najiy Jefri


Sudah tersurat Dai Pendakwah Nusantara musim kelima bukan milik Da’i Izzuddin dan Da’i Umairah apabila diumumkan tersingkir pada minggu keempat, kelmarin.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-duanya berada pada kedudukan tiga terbawah bersama seorang lagi peserta iaitu Da’i Ilhami.

Walaupun Izzuddin dan Umairah dikatakan menyerlah dan semakin berani beraksi di atas pentas menerusi tajuk yang dibawakan, nyata rezeki tidak berpihak kepada mereka apabila menjadi peserta pertama tersingkir dalam program realiti itu.

Dalam program yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu, enam peserta yang terdiri daripada Da’i Samsudin, Da’i Izzuddin, Da’i Muhammad, Da’i Ilhami, Da’i Afiqah, Da’i Adneen dikehendaki menyampaikan tazkirah bertemakan CCTV Yang Terabai selama lima minit.

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 masih mengekalkan Ustaz Kazim Elias sebagai mursyid yang tugasnya menasihati da’i merangkap ketua tenaga pengajar bergelar murabbi.

Murabbi pula terdiri daripada Ustaz Roslan dan Ustazah Asni ditugaskan sebagai tenaga pengajar utama yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program berlangsung.

Bagi dua juri tetap, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail, semua peserta wajar dipuji kerana berani tampil di atas pentas yang besar.

Zarifi ketika ditemui menyifatkan persembahan semua peserta cemerlang jika dinilai pada usia yang masih muda, namun setiap peserta perlu bijak mencari dan menstruktur isi secara teratur.

“Persaingan menjadi semakin sengit apabila sudah memasuki minggu keempat. Tambahan pula, format membahagikan dua kumpulan membuat persembahan setiap minggu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada peserta apabila mereka terperangkap untuk mencari idea yang terbaik. Ini kerana melihatkan persembahan peserta yang sudah membuat persembahan minggu terdahulu.

“Bagaimanapun, apa yang saya lihat, peserta perlu bijak dalam menstruktur isi mereka dengan lebih teratur. Masa lima minit yang diberikan sangat singkat, jadi tidak perlulah berhujah untuk ‘ubah dunia’ tapi cukup dengan dua atau tiga perkara yang benar-benar memberi impak kepada penonton,” katanya.

Menurut Zarifi, semua peserta Da’i musim kelima sudah mencapai kematangan dalam menyampaikan tugasan yang diberikan, tetapi mereka perlu lebih kreativiti dalam penyampaian supaya program ini kekal relevan.

“Memasuki musim kelima, saya percaya penonton mengharapkan kelainan daripada peserta. Lagipun, menerusi empat musim sebelum ini, penonton sudah dihidangkan pelbagai bentuk persembahan dan hujah, jadi ia satu cabaran yang besar untuk peserta musim ini untuk membina keunikan tersendiri.

“Saya mengharapkan peserta musim ini terus berusaha mengumpul kreativiti persembahan yang mudah dan ringkas supaya mesej disampaikan dapat dicerap dengan cepat melalui keunikan dibawakan di atas pentas.

“Setiap peserta perlu tampil dengan isi dan hujah yang baru apabila topik yang dibahaskan tidak klise selain konteks yang disampaikan sesuai dengan keadaan hari ini. Selain itu, saya juga mahu melihat kematangan peserta dalam menggabungkan hujah mereka menggunakan al-Quran dan Sunah bagi mencari satu solusi kepada penonton,” katanya.

Dakwah Izzuddin tak akan berhenti

Izzuddin yang menjadi peserta pertama tersingkir menerimanya dengan hati yang terbuka.

Menurut pelajar tahun dua Diploma Tahfiz Quran Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ini, dia reda tetapi sedih kerana tidak lagi dapat menimba ilmu dalam program terbabit.

“Setiap apa yang berlaku dalam hidup ini adalah ketentuan Allah. Dakwah saya tidak akan berhenti.

“Apa yang penting saya dapat merasai pengalaman terbabit dalam program ini. Jika diberi peluang saya sudi terbabit dengan program TV3,” katanya.

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Peserta diberikan masa tiga hingga lima minit untuk mempersembahkan tazkirah dengan cara kreatif dan unik. Persembahan mereka akan dinilai juri awam, murabbi dan juri tetap.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:53 AM