USTAZ Zul puas hati dengan prestasi anak didiknya.
USTAZ Zul puas hati dengan prestasi anak didiknya.
HAZMAN tetap menunjukkan persembahan bertenaga meskipun sakit.
HAZMAN tetap menunjukkan persembahan bertenaga meskipun sakit.
IRFAN mahu tambah ilmu.
IRFAN mahu tambah ilmu.
Ridzuan Abdul Rahman


Minggu pertama pentas Da’i (Pendakwah Nusantara) musim ke-4 wajar dipuji apabila 11 pendakwah muda berjaya menangani perasaan gugup dengan menunjukkan kematangan dalam berhujah.

Program bersiaran secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam ini mendapat pujian juri profesional iaitu Ustaz Dr Izhar Ariff dan Ustaz Zarifi yang menyifatkannya sangat mengagumkan.

Ia sekali gus mengundang kelegaan buat Murabbi (mentor) Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr Robiah K Hamzah. Datuk Ustaz Kazim Elias selaku Mursyid (ketua mentor) pula tidak dapat turut serta pada malam itu kerana berada di luar negara.

Pada minggu ini, lima nama menjadi pilihan penonton iaitu Da’i Saiful atau nama sebenarnya, Mohamad Saiful Marzuki, 18, dari Pulau Pinang menduduki tempat pertama.

Tempat kedua milik Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani Ahmad, 29) dari Kedah, diikuti Da’i Aini (Wan Nuraini Wan Rosdi, 21) dari Johor.

Posisi keempat Da’i Syed (Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail, 21), dari Perlis dan Da’i Ahmed (Ahmed Ibrahim Ahmad, 23) dari Selangor berada di kedudukan kelima.

Da’i Hazman yang menyampaikan topik Karakter Orang Bertuhan paling mencuri tumpuan kerana beraksi dalam keadaan kurang sihat apabila mengalami masalah tulang belakang.

Pelajar Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia ini berkata, dia tergelincir ketika mendaki Bukti Broga dua tahun lalu.

“Saya jatuh hampir satu meter dan sejak itu sakit tulang belakang. Mulanya saya ingat sakit biasa saja tetapi lama-kelamaan ia serius dan sakitnya makin menjadi-jadi terutama waktu malam.

“Untuk bertanding, saya kena ambil ubat tahan sakit terlebih dahulu selain terpaksa mengehadkan pergerakan di atas pentas. Bimbang juga kalau berlaku perkara tidak diingini.

“Bagaimanapun, sakit ini bukan penghalang untuk saya bertanding. Saya mahu timba ilmu sebanyak mungkin dan berkongsi dengan masyarakat. Saya ada tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta sering memberikan ceramah di masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, “ katanya yang akan menjalani rawatan lanjut selepas ini.

Sementara itu, Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan Niamat, 25), anak bongsu kepada tokoh agama terkenal di Kedah iaitu Ustaz Niamat Yusuf.

“Selain meneruskan legasi ayah, saya menyertai Da’i kerana mahu memperbaiki kekurangan diri dan menambah ilmu yang ada.

“Saya juga nak memperbaiki tanggapan segelintir masyarakat bahawa TV banyak bawa unsur negatif.

“Ia terpulang kepada pendirian masing-masing kerana banyak lagi kepentingan TV yang boleh dimanfaatkan bersama,” katanya yang yakin boleh meneruskan cabaran dalam program ini.

Ustaz Zul Ramli ketika ditemui mengakui berpuas hati dengan komitmen barisan peserta.

“Biasanya kelemahan yang ada ialah kawalan pentas tetapi untuk minggu ini mereka berjaya buat yang terbaik. Saya banyak tekankan mereka asas ‘public speaking’ dan komunikasi dengan penonton.

“Tak dinafikan ada peserta yang lari daripada topik tapi bukan jauh menyimpang. Saya juga suka jadikan peserta sebagai kawan agar mereka tak tertekan sepanjang berada dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Zarifi memuji semua peserta kerana bukan mudah menyampaikan hujah dalam tempoh sesingkat tiga minit.

“Mereka masih muda tetapi berjiwa besar kerana berani bercakap di depan khalayak. Sekarang saya faham kenapa TV3 ambil peserta muda untuk Da’i.

“Mereka ini masih hijau dan akan digilap sebagai permata. Dalam penjurian pula, saya lebih suka bagi tip berbanding kritikan.

“Itu lebih membantu mereka untuk kembangkan idea dalam cabaran seterusnya. Sebagai penceramah, ilmu dan fakta sangat penting untuk diketengahkan kepada pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:06 AM