Nurshafika Suhaimi

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) kali ini memperkenalkan satu program keusahawanan holistik dan berdaya saing kepada golongan belia dan wanita melalui projek 'Be Your Own Boss' (BYOB).

Projek BYOB merupakan inisiatif pihak Pernas dalam usaha membantu peserta bumiputera memulakan perniagaan dalam bidang francais dengan menawarkan bantuan pembiayaan, latihan berstruktur, bimbingan dan pemantauan perniagaan.

Inisiatif kali ini bukan sahaja dilihat memanfaatkan golongan belia dan wanita, namun ia juga dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa sekaligus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor, Pernas kini sedang giat memacu keusahawanan francais melalui beberapa program dan produk baharu dengan matlamat untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan.

Antara program keusahawanan projek BYOB yang diperkenalkan awal tahun ini adalah Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET)" dan program "Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY). 

Mengulas lanjut mengenai program SWEET dan YOUNITY, beliau menyatakan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90 peratus bergantung kepada pakej perniagaan yang dimiliki. 

Peserta program berpeluang untuk memilih dari 38 syarikat jenama francais dan 50 syarikat pra-francais yang telah berdaftar di bawah projek BYOB dengan tawaran saiz pakej perniagaan yang bermula dari serendah RM7,500 hinggalah RM800,000. 

Image

Menyentuh mengenai proses yang dilaksanakan dalam projek ini, peserta berpeluang mengikuti latihan berstruktur selama 20 hari, padanan perniagaan bersama francaisor dan pra-francaisor serta akan dibimbing mempelajari selok-belok perniagaan. 

Bukan itu sahaja, peserta juga akan diberi bantuan pembiayaan dan pemantauan selama enam bulan apabila perniagaan bermula bagi memastikan peserta berjaya dalam bidang keusahawanan dan francais.

"Peserta-peserta projek BYOB yang berjaya akan berpeluang menjadi francaisi kepada jenama-jenama francais tempatan mahupun antarabangsa.

"Peluang ini tidak terhad kepada jenama-jenama francais sedia ada, malah para peserta juga boleh memilih untuk memulakan perniagaan pakej francais mampu milik melalui jenama pra-francais di bawah Program Business In Transformation (BIT),"katanya.

Dalam pada itu, seramai 373 wanita dan belia telah mendaftar sebagai peserta BYOB dan seramai 150 peserta telah menamatkan latihan sejak program ini diperkenalkan pada Mac lalu.

Lebih membanggakan, seramai 123 peserta sudah mendapat padanan perniagaan daripada francaisor dan pra-francaisor yang berdaftar dalam projek BYOB dari pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, peruncitan, perkhidmatan serta pendidikan. 

Tambah Mohd Hilaluddin lagi, melalui projek BYOB, Pernas berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan belia, wanita serta siswazah, yang mana kami menyasarkan seribu usahawan francais dan pra-francais setahun.

Program ini akan meliputi latihan yang berbeza selama 20 hari yang dijalankan secara dalam talian.

Antara modul latihan yang ditawarkan adalah Transformasi Minda, Asas Keusahawanan, Keusahawanan-Kewangan, Keusahawanan Rancangan Perniagaan, Teknologi, Keusahawanan Francais dan Pendigitalan.

Beliau turut menyatakan usaha ini juga adalah ebahagian daripada usaha memenuhi aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui penjanaan sumber pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan B40 dan M40 melalui bidang keusahawanan.

"Pernas menyasarkan 3,600 peluang pekerjaan pada tahun ini dan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

"Saya berharap projek BYOB ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menjana pendapatan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

"Usaha ini juga seterusnya diharap mengurangkan kadar pengangguran dan mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan," katanya.

Selain itu, Pernas juga menyasarkan untuk memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana  selain dari membudayakan keusahawanan di segenap lapisan masyarakat.

Inisiatif ini selari dengan peranan Pernas dalam melahirkan lebih ramai usahawan khususnya di dalam bidang francais melalui projek ini.

Image

Anda berminat untuk mengetahui mengenai program SWEET atau YOUNITY?

Mulakan langkah untuk menyertai projek BYOB dengan '#caripernas' di www.pernas.my.

Untuk mengetahui lebih lanjut sila hubungi 1800 22 1767 atau layari laman Facebook dan Instagram milik Pernas atau gunakan imbas kod QR BYOB.

Image

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 8:20 AM