SUNGAI Skudai tercemar dengan sampah sarap.
SUNGAI Skudai tercemar dengan sampah sarap.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Setiap tahun tanggal 5 Jun, Hari Alam Sekitar Sedunia akan disambut serentak di seluruh dunia dengan temanya tersendiri yang ditetapkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).

Ia mula disambut pada 1972 dan berkembang menjadi sambutan utama seluruh dunia selepas pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hari Alam Sekitar Sedunia menjadi sambutan penting kerana ia sebagai platform dalam meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan melindungi alam sekitar di seluruh dunia.

Ini kerana masalah alam sekitar sering dipandang remeh sedangkan ia adalah isu sejagat yang perlu diberikan perhatian serius kerana impaknya membabitkan masa depan generasi akan datang.

Setiap tahun sambutan itu diadakan di negara yang berbeza dan tahun ini India dipilih menjadi tuan rumah bagi acara berprestij itu.

Tumpuan yang diberikan pada sambutan itu di negara tuan rumah ialah mendedahkan cabaran dalam menangani masalah alam sekitar.

Tahun ini tema yang dipilih untuk sambutan Hari Alam Sekitar Dunia ialah menghapuskan pencemaran plastik.

Pemilihan tema itu amat tepat dengan situasi semasa apabila pencemaran plastik berada pada tahap membimbangkan.

SUNGAI Pinang yang tercemar dengan sisa plastik.
SUNGAI Pinang yang tercemar dengan sisa plastik.

Penggunaan bahan plastik secara berleluasa disebabkan pertambahan penduduk dan gaya hidup tanpa mengambil berat risiko yang bakal mereka tanggung.

Di mana-mana saja pasti ada plastik kerana bahan itu digunakan di seluruh dunia dan memburukkan keadaan apabila sampah itu dibuang ke dalam sungai dan sungai.

Seperti sudah diketahui, plastik adalah bahan yang susah untuk dilupuskan dan mengambil masa lama sehingga mencecah ratusan tahun untuk menjadi reput bergantung kepada bahan yang digunakan dalam pembuatannya.

Bahayanya plastik apabila dibakar akan membebaskan gas beracun yang boleh mencemarkan udara dan memberi kesan kesihatan kepada manusia juga kehidupan ekologi lain.

Manakala sisa plastik yang dibuang ke laut atau sungai boleh mencemarkan dan memusnahkan hidupan laut.

Bahan kimia dalam plastik yang meresap masuk ke dalam badan ikan boleh memudaratkan kesihatan manusia apabila memakannya.

Tanpa disedari, pencemaran itu juga memberikan kesan buruk kepada alam sekitar melalui penipisan ozon yang boleh menyebabkan perubahan iklim global.

Oleh itu, amat wajarlah sekiranya penggunaan bahan plastik diharamkan di seluruh dunia bagi mewujudkan alam sekitar yang sihat.

KERAJAAN Selangor melancarkan kempen bebas beg plastik.
KERAJAAN Selangor melancarkan kempen bebas beg plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:41 PM