NORASHIKIN (dari kanan), Adi Munawar dan Baderisham beramah mesra dengan peserta.
NORASHIKIN (dari kanan), Adi Munawar dan Baderisham beramah mesra dengan peserta.
HM Digital

Inisiatif Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjaya membantu graduan mendapatkan pekerjaan sejak program itu dilancarkan pada 2011.

Sejak itu, lebih 138,000 graduan yang dilatih berjaya mendapatkan pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta.

SL1M adalah inisiatif membantu graduan terutama dalam melatih mereka supaya bersedia melangkah ke alam pekerjaan dengan kemahiran penting seperti komunikasi, berfikiran kritis dan kreatif, penyesuaian dalam organisasi, nilai ke arah profesional dan penampilan korporat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, syarikat swasta yang mendapat kontrak kerajaan diwajibkan memperuntukkan kira-kira satu peratus daripada nilai projek untuk Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M).

Ia bagi memastikan skim yang memberi latihan kepada graduan dapat diteruskan dan ditambah baik.

Katanya, kerajaan akan meneruskan SL1M dengan peningkatan seramai 5,000 graduan daripada 25 perantis pada tahun depan.

Sejajar keperluan itu, syarikat pembinaan swasta, Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd (PJZSB) buat pertama kali akan melatih 40 graduan untuk program SL1M bermula Februari ini.

Timbalan Presiden Pembinaan Jaya Zira, Datuk Baderisham Jolly berkata, seramai 100 graduan daripada pelbagai kursus pengajian hadir untuk temu duga program itu.

Katanya, hanya 40 orang saja diperlukan untuk ditempatkan di unit mengikut permohonan peserta.

“Syarikat bukan sekadar membina bangunan dan binaan gah, malah kini ingin terbabit dalam pembangunan modal insan negara yang berkualiti.

“Kami berbesar hati mendukung hasrat negara dalam membantu graduan menganggur membangunkan keupayaan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja. Ia akan meningkatkan potensi diri dan peluang kebolehpasaran graduan menerusi program latihan ini selama setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu duga Majlis Hari Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia bersama Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd.

Hadir sama, Presiden Pembinaan Jaya Zira Sendirian Berhad, Datuk Adi Munawar Md Din dan Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail. - Fazurawati Che Lah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 2:57 PM