PULAU Nami, Korea sentiasa menjadi tarikan pelancong Malaysia pada musim dingin
PULAU Nami, Korea sentiasa menjadi tarikan pelancong Malaysia pada musim dingin
Hafiz Ithnin

Dari tropika ke ‘dunia’ ais. Semestinya bukan sesuatu yang mudah untuk kita sesuaikan diri dengan persekitaran dingin hingga mencecah ke paras beku.

Sebut saja negara beriklim sejuk ekstrem yang belum dijelajah rakyat Malaysia? Dari kutub utara, selatan hingga merentasi Greenland, kebanyakan negara ini sudah dijejaki.

Aktiviti meneroka negara bermusim sejuk sebenarnya menjadikan pengembara tempatan lebih berpengetahuan luas.

Paling tidak pun, Disember sehingga Mac negara musim sejuk pasti menjadi tumpuan pelancong atau pengembara kita.

Antara lokasi terkenal sudah pasti negara Eropah atau Asia sendiri seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

Lokasi lain yang sering menjadi sebutan rakyat Malaysia untuk meneroka negara bersalji termasuk New Zealand dan Australia kerana jarak perjalanan penerbangan yang tidak begitu lama berbanding ke Eropah.

NEW Zealand pada musim dingin menjanjikan panorama indah untuk pengembara.
NEW Zealand pada musim dingin menjanjikan panorama indah untuk pengembara.

Pada hari ini, aktiviti mengembara ke negara empat musim itu juga boleh dikatakan sentiasa mendapat sambutan pelancong tempatan kerana beberapa faktor antaranya di Malaysia sudah terdapat syarikat penerbangan terbang murah.

Apabila kita hendak mengembara ke sesebuah negara yang bermusim sejuk, bajet memainkan peranan sangat penting meskipun di negara berkenaan ketika itu dikategorikan sebagai musim kurang pelancong (low season) apabila bilik atau hotel penginapan ditawarkan pada harga yang agak murah.

Bagaimanapun, beberapa persediaan perlu dilakukan termasuk membeli baju yang sesuai untuk dipakai pada musim sejuk dan memerlukan sedikit perbelanjaan bagi keperluan berkaitan.

Memandangkan, musim sejuk di sesetengah negara berlaku antara Disember dan Mac, masih ada waktu untuk pengembara tempatan menabung bagi membeli kelengkapan atau pakaian yang sesuai.

AKTIVITI berbasikal rakyat Malaysia ke negara bermusim sejuk bukan menjadi kejanggalan.
AKTIVITI berbasikal rakyat Malaysia ke negara bermusim sejuk bukan menjadi kejanggalan.

Selain itu, sediakan juga mata wang yang popular supaya mudah untuk ditukar di negara yang kita lawati seperti dolar Amerika, British pound atau euro. Ini kerana ada sesetengah negara tidak menerima mata wang Malaysia untuk ditukar kepada mata wang mereka.

Bersandarkan pengalaman pengembaraan penulis yang pernah menerokai negara musim sejuk atau pergunungan berais, sememangnya bukan mudah terutama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa yang kadangkala mencecah hingga angka negatif darjah Celsius.

Masih teringat lagi, sekitar 2014 apabila penulis berkesempatan ke Iceland yang ketika itu Reykjavik iaitu ibu negaranya belum popular dalam kalangan kebanyakan pengembara tempatan.

Malah, sepanjang berada di Reykjavik terutama pada waktu malam, jaket ‘down’ sentiasa menjadi teman setia dipakai sebaik keluar dari tempat penginapan kerana sejuknya menusuk hingga ke tulang.

Pada Mac tahun ini pula, penulis berpeluang mengembara ke sebuah negeri paling utara di Amerika Syarikat iaitu Alaska. Ia sememangnya terkenal dengan pemandangan gunung Alp bersalji dan sudah tentu menjadi sasaran jurugambar merakam pemandangan Aurora ketika malam.

AURORA sentiasa menjadi buruan pengembara di musim sejuk.
AURORA sentiasa menjadi buruan pengembara di musim sejuk.

Di Alaska terutama di Fairbanks iaitu salah satu bandar terkenal di negeri itu membuka sejarah baru kepada penulis apabila dapat merasai sendiri keadaan suhu sejuk yang mencecah sekitar negatif 30 darjah Celsius selepas tengah malam gara-gara ingin merakam panorama Aurora.

Tahap kesejukan Alaska jelas dapat dilihat apabila air tasik dan air tepian pantai beku hingga kita boleh berjalan di atasnya dan ada juga penduduk tempatan bermain papan luncur.

Setiap kali pulang sudah tentu soalan wajib yang bakal diajukan ialah bagaimana kita yang dilahirkan di negara beriklim tropika ini boleh bertahan di kawasan sejuk ekstrem?

Tip persediaan percutian pada musim sejuk

Sebenarnya ada beberapa tip untuk dijadikan persediaan ke lokasi seperti itu. Bagaimanapun, ini adalah tip peribadi penulis, mungkin ada yang mempunyai cara tersendiri.

Perkara paling penting adalah menghindari dua penyakit utama akibat sejuk ekstrem iaitu hipotermia dan kecederaan sejuk-beku (frostbite).

Hipotermia adalah pengurangan suhu badan ke tahap yang tidak normal.

Frostbite pula adalah kecederaan kepada tisu disebabkan sejuk-beku (suhu sejuk yang keterlaluan). Bahagian yang terbabit biasanya hidung, jari tangan atau kaki apabila ia menjadi pucat dan kebas.

Perkara ini disahkan rakan penulis ketika bersama-sama mendaki di Stok Kangri, India tahun lalu yang juga Pakar Perunding Anaestesiologi di Gleneagles Medini, Dr Mafeitzeral Mamat.

WARTAWAN Georgie Joseph di Gulmarg Kashmir, India pada penghujung musim sejuk.
WARTAWAN Georgie Joseph di Gulmarg Kashmir, India pada penghujung musim sejuk.

Berkenaan persediaan berdepan cabaran ‘dunia’ ais ini, langkah pertama ialah buat kajian terlebih dulu di lokasi percutian khususnya ramalan cuaca atau suhu sepanjang anda berada di situ.

Selepas meninjau ramalan cuaca, siapkan pakaian sesuai. Biasanya penulis membawa sepasang termal sebagai lapisan pakaian pertama yang sememangnya mampu memanaskan badan.

Selepas memakai termal, baju-T pula dipakai yang bukan diperbuat daripada kain kapas kerana material berkenaan adalah jenis sejuk. Lapisan seterusnya adalah jaket ‘fleece’ iaitu jaket berbulu nipis dan mampu membantu memerangkap haba badan.

Terakhir, sudah pasti jaket ‘down’ yang biasanya bersaiz besar dipakai kerana ia diisi dengan bulu itik atau angsa yang berupaya memanaskan badan.

Selain itu, bahagian penting yang perlu diambil kira ialah penutup kepala, telinga, hidung dan tangan. Ini kerana bahagian ini terlalu sensitif dengan persekitaran sejuk. Jangan lupa untuk membawa kasut but kalis air dan stokin yang mampu memanaskan tapak kaki.

Bahagian mata juga penting untuk dilindungi dengan memakai cermin mata hitam bersesuaian kerana pantulan terus matahari pada ais boleh merosakkan mata.

Bagaimanapun, kelengkapan pakaian atau persediaan tidak semestinya sama untuk semua individu kerana setiap manusia mempunyai daya tahan badan yang berbeza.

EVERLAND di Seoul, Korea menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti musim sejuk.
EVERLAND di Seoul, Korea menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti musim sejuk.

INFO

Sepuluh negara musim sejuk popular dalam kalangan rakyat Malaysia

1. London

2. Paris

3. Norway

4. New Zealand

5. India

6. Korea

7. Jepun.

8. Iceland

9. Nepal

10. Australia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:57 PM