Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

BAGI mereka yang pernah menjejakkan kaki ke negara Winter Sonata, pasti tidak akan lupa suasana dan pelbagai lokasi serta aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang mengunjungi negara berkenaan.

Apa tidaknya, Korea Selatan yang mempunyai cuaca empat musim memberikan pilihan kepada pengunjung untuk menikmati kelebihan atau kecantikan bagi setiap musim dilalui, yang pastinya menggamit perasaan untuk kembali semula ke negara berkenaan.

Setiap musim sama ada bunga, luruh, sejuk serta panas pasti menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk diisi sesuai dengan cuaca ketika itu.

Selepas beberapa tahun, penulis berpeluang kembali semula ke negara berkenaan bersama rakan media lain dalam siri jelajah syarikat LG Malaysia, selama hampir seminggu, baru-baru ini.

Kebetulan pula, ia jatuh pada musim panas yang dianggap lebih santai serta menikmati aktiviti yang menarik disediakan sebaik sampai di Pulau Jeju yang dikatakan antara pulau peranginan terkenal di Korea.

Dari Seoul, kami dibawa ke Lapangan Terbang Gimpo, untuk penerbangan lebih 45 minit dan menginap di sebuah hotel terkenal di Pulau Jeju. Penulis tertanya-tanya, betulkah pulau itu mempunyai lokasi yang cantik seperti yang diuar-uarkan.

Keesokannya, penulis dan rakan menempuh perjalanan menaiki bas satu jam 50 minit untuk sampai ke lokasi sasaran iaitu Puncak Seongsan Ilchul-bong Peak yang diiktiraf sebagai warisan dunia.

Sepanjang penjalanan itu penulis terpandang kawasan kampung yang agak pelik. Penulis diberitahu, lokasi itu adalah kampung tradisional masyarakat Korea yang dibina daripada ketulan batu besar.

Di situ juga, terletak Jeju Folk Village Museum menampilkan kehidupan masyarakat Korea pada abad ke-19, malah lebih 100 rumah tradisional dan 8,000 peninggalan sejarah di muzium itu.

PELBAGAI kedai cenderamata kenangan untuk pengunjung.
PELBAGAI kedai cenderamata kenangan untuk pengunjung.

Ia dikatakan menjadi lokasi untuk mengenali budaya dan sejarah masyarakat Korea secara lebih mendalam, khususnya kehidupan masyarakat di pulau berkenaan.

Tidak lama kemudian, bas yang membawa penulis dan rakan sampai ke Seopjikoji di mana terletaknya Puncak Seongsan Ilchul-bong.

Agak sayup melihat puncak menghijau yang perlu didaki itu, malah diberitahu, tempoh satu jam untuk naik dan turun dari puncak ini menggunakan laluan disediakan.

Walaupun menghela nafas untuk mendakinya, tetapi puas apabila dapat melihat pemandangan indah kawasan persekitaran selain laut kebiruan yang tenang.

PEMANDANGAN indah dari Puncak Seongsan Ilchul-bong.
PEMANDANGAN indah dari Puncak Seongsan Ilchul-bong.

Apa tidaknya, semangat membara untuk mendaki apabila melihat warga emas yang juga warga tempatan yang bersahaja mendaki puncak berkenaan.

Berdasarkan maklumat, kewujudan Ilchul-bong itu hasil letupan gunung berapi dalam laut kira-kira 5,000 tahun lalu.

Perlu diingat, bayaran masuk untuk mendaki puncak ini adalah RM15.

Seongsan Ilchul-bong adalah kawah hutan yang dikelilingi bebatuan bergerigi, membentuk seperti sebuah mangkuk besar yang berada di atas laut.

PELUANG mendaki Puncak Seongsan Ilchul-bong yang menjadi warisan dunia.
PELUANG mendaki Puncak Seongsan Ilchul-bong yang menjadi warisan dunia.

Bagi pengunjung yang mahu membasah tekak, pelbagai gerai menjual minuman, makanan selain gerai cenderahati disediakan di kawasan berhampiran. Malah, bagi mereka yang mahu menunggang kuda, khidmat santai itu turut disediakan sebagai pilihan kepada pengunjung yang letih untuk mendaki puncak berkenaan.

Memanglah, agak berpeluh juga ketika mendaki puncak setinggi 180 meter tu, tetapi ia pengalaman perlu dilalui buat mereka yang mahu menikmati pandangan cantik puncak itu yang dikelilingi lautan yang cantik lagi membiru.

PENDUDUK tempatan tenang mendaki ke Puncak Seongsan Ilchul-bong.
PENDUDUK tempatan tenang mendaki ke Puncak Seongsan Ilchul-bong.

Jelajah penulis dan rakan tidak habis di situ, apabila dibawa untuk bersantai dengan menaiki ‘trainbicycle’ di Hado-ri tidak jauh dari lokasi puncak berkenaan.

Kebetulan kumpulan kami turut disertai rakan media dari Singapura dan untuk menikmati pengalaman itu perlu melalui jalan lebih lima kilometer.

Khidmat ini diterajui warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu atau pengayuh utama, malah kayuhan perlu dilakukan secara serentak bagi memastikan ia bergerak lancar di jalan raya berhampiran dengan laut itu.

RAKAN media dari Malaysia dan Singapura mengambil kesempatan menaiki trainbicyle dan mengelilingi  kawasan sejauh lima kilometer.
RAKAN media dari Malaysia dan Singapura mengambil kesempatan menaiki trainbicyle dan mengelilingi kawasan sejauh lima kilometer.

Selepas lebih sejam menaiki trainbicycle itu, rakan media yang lengkap dengan jaket keselamatan kemudian diberikan peluang untuk berkayak di pantai Wol Jeong-ri.

Tetapi, bagi mereka yang tidak menyertainya, boleh saja menikmati secangkir kopi Latte di mana-mana restoran pilihan di sepanjang pantai berkenaan.

PELUANG berkayak turut ditawarkan kepada pengunjung.
PELUANG berkayak turut ditawarkan kepada pengunjung.

Tidak habis lagi penjelajahan ini, sebelum bergerak pulang ke tanah air keesokannya, penulis dan rakan diberi peluang menaiki kapal layar di perairan Pulau Jeju sambil diberi joran untuk menunjukkan kemahiran memancing di lautan.

Hakikatnya, tidak sah ke Korea Selatan jika tidak menjejakkan kaki ke Pulau Jeju yang juga kepulauan terbesar di Korea Selatan dengan keluasan 1,848 kilometer persegi.

Perlu diakui keindahan alam semula jadi, menjadikan Pulau Jeju begitu popular dan kerap menerima kunjungan pelancong dari serata dunia.

RAKAN media diberikan peluang menaiki kapal layar mengelilingi perairan di barat Pulau Jeju.
RAKAN media diberikan peluang menaiki kapal layar mengelilingi perairan di barat Pulau Jeju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:30 AM