PETANI mengusahakan tanaman sayur di tanah pusaka.
PETANI mengusahakan tanaman sayur di tanah pusaka.
SEORANG penduduk tempatan menjemur biji kopi yang diusahakan secara komersial.
SEORANG penduduk tempatan menjemur biji kopi yang diusahakan secara komersial.
SEBUAH rumah masyarakat Karo yang terbiar sejak letusan besar pada 2014.
SEBUAH rumah masyarakat Karo yang terbiar sejak letusan besar pada 2014.
SEORANG penduduk melihat tanaman kopi diusahakannya.
SEORANG penduduk melihat tanaman kopi diusahakannya.
Aizuddin Saad


Gunung Sinabung, gunung berapi jenis Stratovolcano terletak di Dataran Tinggi Karo, wilayah Sumatera Utara, Indonesia.

Dengan ketinggian 2,460 meter, ia tidak pernah memuntahkan lahar sejak 400 tahun namun kembali meletus pada 2010.

Sehingga kini, letusan gunung berapi itu masih berterusan dan menyebabkan ribuan penduduk yang majoriti beragama Kristian daripada suku etnik Batak Karo mendiami sekitar lembah gunung berapi ini kehilangan tempat tinggal apabila kawasan didiami mereka dikategorikan sebagai zon merah.

Namun, mereka tidak mudah meninggalkan tanah pusaka yang diwarisi turun-temurun oleh nenek moyang.

Menurut penduduk tempatan, apabila ahli masyarakat Batak yang dilahirkan di kawasan perkampungan sekitar Gunung Sinabung, uri mereka akan ditanam di dalam tanah iaitu ritual simbolik mengikat kontrak untuk terus bersama dengan semangat Gunung Sinabung sehingga mereka meninggal dunia.

Walaupun diasak dengan masalah bencana debu panas dan banjir lumpur yang memusnahkan kediaman serta tanaman, mereka tidak pernah mengalah untuk meneruskan kehidupan dan tetap terus berdiri di atas tanah yang banyak memberi rezeki untuk keperluan harian.

Melalui pengamatan penulis ketika berada di sana, tanah yang digunakan untuk bercucuk tanam amatlah subur sekali disebabkan muntahan lahar gunung berapi mengandungi banyak mineral dan gunung berapi juga dapat mempengaruhi keadaan cuaca sehingga membuatkan awan sering berkumpul pada puncaknya dan akhirnya hujan.

Antara tanaman yang giat dijalankan secara komersial adalah kopi bagi meneroka potensi ekonomi selain tanaman limau yang juga terkenal sekitar kawasan Gunung Sinabung. Ketika serangan debu panas gunung berapi yang memusnahkan semua tanaman termasuk tanaman limau yang diusahakan secara komersial, hanya tanaman kopi mampu bertahan daripada serangan berkenaan.

Malah, ia menyuburkan hasil tanaman kopi melalui pengunaan baja organik daripada debu gunung berapi Sinabung yang bertukar menjadi lumpur memberi kualiti berbeza daripada kopi sedia ada berbanding daerah lain.

Melihat kepada situasi ini, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Karo mengadakan program Rehab Rekon dan daripada sebahagian program itu, pihak BPBD memfokuskan dengan mengadakan latihan dan pengawasan kepada petani sekitar pergunungan Sinabung untuk mengubah daripada penanaman limau kepada kopi secara komersial bagi meningkatkan produktiviti serta ekonomi masyarakat Karo.

Walaupun masyarakat Karo kembali membangunkan ekonomi dan penempatan yang dimusnahkan oleh bencana gunung berapi Sinabung sejak 2010 secara berperingkat, masih terdapat sebahagian penduduk yang tidak bernasib baik untuk meneruskan kehidupan di tanah asal mereka apabila seluruh perkampungan mereka ditimbus oleh lahar gunung berapi. Ini memaksa mereka semua menjadi pelarian di tanah mereka sendiri dan masalah ini segera diberi perhatian oleh kerajaan Indonesia.

Kerajaan Indonesia melalui Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) memberi peluang kepada penduduk dari Desa Suka Meriah, Desa Bekerah dan Desa Simacem meneroka penempatan baru di Siosar yang mempunyai keluasan kira-kira 30 hektar dan sejauh 40 kilometer dari Gunung Sinabung dikatakan sangat strategik berhampiran ibu kota wilayah Karo, Kabanjahe sejauh 20 kilometer.

Menurut penduduk, Suparman Surbakti 17, kerajaan Indonesia memberikan sebidang tanah seluas setengah hektar kepada 370 keluarga untuk melakukan aktiviti pertanian dengan bantuan subsidi tanaman kentang. Setiap ahli keluarga yang dibekalkan benih kentang sebanyak 13 kotak mampu untuk memberi pendapatan purata Rp 9,300 (RM3) sekilogram selepas dijual kepada pengedar.

Namun, tidak semua yang bernasib baik seperti penduduk setempat yang berpindah di Siosar dan menerima pelbagai kemudahan dan manfaat. Terdapat juga sebahagian penduduk sekitar kawasan gunung Sinabung berpindah di kem pelarian tanpa keperluan asas.

Seramai 276 keluarga atau sekitar 900 orang dipindahkan dari penempatan asal, Desa Mardinding apabila seluruh kediaman dimusnahkan banjir lumpur dan debu panas gunung berapi Sinabung.

Ia sekali gus menjadikan lokasi Desa Mardinding yang berhampiran dengan Gunung Sinabung pada jarak hanya tiga kilometer tidak selamat untuk didiami semula. Mereka mendirikan kem pelarian sementara yang dibantu oleh pihak berkuasa tempatan di Desa Terung Peren, Kabupaten Karo.

Berbeza dengan penduduk yang menerima penempatan semula di Siosar, mereka yang mendirikan kem pelarian di Desa Terung Peren tidak mendapat kemudahan itu disebabkan tanah perkampungan mereka tidak musnah sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 1:16 PM