Sekalipun masih baru dalam politik selain terikat dengan tuntutan pengajian di luar negara, namun ia bukan alasan bagi gadis berusia 24 tahun ini, Izza Aleena untuk tidak menyertai perjuangan parti keramat orang Melayu.

“Kalau diikutkan, ayah dan ibu hanya orang biasa dan mereka tidak aktif dalam UMNO, namun mereka tidak pernah melarang saya menyertai politik.

“Semangat saya hari ini datangnya daripada Kelab UMNO Luar Negara yang disertai sejak memulakan pengajian di Medan, Indonesia pada 2010.

“Malah, banyak ucapan yang disampaikan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menjadi penyuntik semangat untuk Adinda seperti saya dan rakan di luar negara,” katanya.

Bakal doktor gigi itu berkata, dia percaya Puteri boleh menjadi platform terbaik bagi anak muda sepertinya untuk bergiat aktif dalam politik.

“Saya merancang untuk lebih serius dengan Puteri UMNO selepas tamat pengajian nanti. Bagi saya, pembabitan anak muda dalam UMNO ketika ini sangat penting bagi menyempurnakan perjuangan pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 10:08 AM