SEPANJANG pendakian ke Panalaban perlu melalui tujuh perhentian sebelum ke puncak gunung.  FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin
SEPANJANG pendakian ke Panalaban perlu melalui tujuh perhentian sebelum ke puncak gunung. FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin
Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEBAIK sahaja Taman Negara Sabah (TTS) membuka semula laluan pendakian ke Gunung Kinabalu bermula 16 Mei lalu, ramai gembira kerana tercapainya impian untuk menjejakkan kaki ke puncak antara yang tertinggi di Asia Tenggara setinggi 4,095 meter (m) itu.

Namun terdapat beberapa peraturan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi iaitu hanya 100 pendaki sahaja dibenarkan dalam sehari berbanding kira-kira 165 pendaki sebelum ini.

Semua pendaki termasuk malim gunung dan porter tidak terkecuali daripada SOP yang ditetapkan itu bagi memastikan keselamatan setiap pendaki terjamin.

Suhu badan pendaki perlu melepasi tahap yang ditetapkan, baharulah dibenarkan untuk mendaftar masuk bagi urusan pendakian seperti bayaran insurans, malim gunung, penginapan dan sebagainya.

Waktu pendaftaran pula bermula jam 7 pagi hingga 10.30 pagi sebelum bergerak ke Timpohon bagi memulakan pendakian ke Panalaban sejauh enam kilometer.

Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Sandakan, Darryl Delek Binijin, berita pembukaan semula TTS sememangnya ditunggu-tunggu memandangkan dia dan rakannya sudah membuat tempahan untuk mendaki Gunung Kinabalu pada Januari lalu tetapi ditunda akibat pandemik Covid-19.

PEMANDANGAN indah sepanjang pendakian ke Panalaban.  FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin
PEMANDANGAN indah sepanjang pendakian ke Panalaban. FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin

Kata Darryl, penantian mereka berakhir apabila mendapat slot mendaki pada 31 Julai lalu.

"Meskipun semua pendaki perlu mengikut SOP dan peraturan yang ditetapkan namun masing-masing teruja kerana impian mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu akhirnya tercapai.

"Kami memulakan pendakian dari pintu Timpohon sekitar jam 7.30 pagi dan turut ditemani pemandu arah.

"Sebelum memulakan pendakian, pendaki berdoa mengikut kepercayaan masing-masing dan pemandu arah turut mengingatkan mengenai keadaan cuaca yang sentiasa berubah-ubah di atas gunung," katanya.

Menurut Darryl, ketika mendaki, pendaki perlu mengikut 'step' sendiri dan jangan berlumba atau terikut-ikut dengan kepantasan pendaki lain.

"Sebaiknya, mendakilah mengikut keupayaan sendiri dan berhenti seketika sekiranya penat serta jangan memaksa diri.

"Pendaki seeloknya perlu sampai di Panalaban dengan ketinggian 3,272m dari aras laut sebelum jam 4.30 petang, jadi masa pendakian perlu diurus dengan sebaiknya.

"Jika sampai lewat dari itu, dikhuatiri tempat makan pun sudah tutup manakala masa untuk berehat pun tidak cukup kerana seawal jam 2 pagi sudah perlu memulakan pendakian ke puncak," katanya.

SIJIL penghargaan untuk pendaki yang berjaya menakluk puncak Kinabalu.  FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin
SIJIL penghargaan untuk pendaki yang berjaya menakluk puncak Kinabalu. FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin

Bercerita lanjut, Darryl berkata, bukan mudah untuk pendaki amatur sepertinya menawan gunung berkenaan tanpa persediaan dan latihan secukupnya.

Justeru kata Darryl, dia memanfaatkan masa yang ada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berlatih

dan memantapkan kecergasan serta stamina diri.

"Tiada gunung yang mudah untuk ditawan, begitu juga Gunung Kinabalu, sepanjang pendakian ke Panalaban misalnya pendaki akan melalui tujuh pondok perhentian iaitu pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Paka dan Waras.

"Pastikan mental dan fizikal bersedia secukupnya kerana pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi sepanjang perjalanan ke puncak," katanya.

Dalam pada itu, Darryl mengakui terpegun dengan keindahan pemandangan alam semula jadi flora dan fauna yang disajikan sepanjang pendakian.

Meskipun gunung berkenaan sebelum ini dilanda gempa bumi dahsyat pada 2015 namun ia bagaikan sudah 'hidup' kembali.

Memandangkan ini kali pertama dia mendaki gunung itu, banyak kenangan yang sempat dirakam untuk memori pada masa depan.

Kata Darryl, pendaki perlu membawa bekalan air secukupnya namun jangan berlebihan kerana ia nanti akan memberatkan beg.

Menurutnya, setiap pondok rehat di laluan pendakian juga menyediakan tempat untuk mengambil air, kemudahan tandas dan tong sampah.

"Namun, pendaki dinasihatkan supaya menyimpan semua sampah itu sendiri dan membawa turun kerana tiada pekerja pembersihan selain perlu menghormati 'gunung' itu sendiri," katanya.

BERGAMBAR kenangan bersama rakan sependaki dan malim gunung.  FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin
BERGAMBAR kenangan bersama rakan sependaki dan malim gunung. FOTO: Ihsan Darryl Delek Binijin

Darryl dan rakan pendaki yang lain memulakan pendakian ke puncak sekitar jam 2.30 pagi dan tiba Sayat-Sayat sebelum jam 5.30 pagi.

Meskipun dalam cuaca yang sejuk, mereka berjaya menawan puncak Kinabalu dan usai merakam gambar kenangan, semua pendaki bergerak turun ke Panalaban.

Selepas berehat dan bersarapan, pada jam 10.30 pagi Darryl dan kumpulannya bergerak turun ke Timpohon dan menurut Darryl, pendaki dinasihatkan tiba di pintu masuk (Timpohon) sebelum pejabat ditutup iaitu jam 5 petang.

Mengulas lanjut mengenai minat mendakinya itu, Darryl mula aktif mendaki gunung ketika menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sering menyertai rakan-rakan seuniversiti mendaki gunung dan bukit di sekitar Semenanjung.

Namun pencapaian terbesar Darryl setakat ini adalah menakluk Gunung Kinabalu.

Begitupun, dia turut bercadang untuk kembali menakluk gunung itu tetapi menggunakan laluan berbeza iaitu 'via ferrata.'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 7:00 AM