Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Malaysia komited untuk terus meneroka potensi perdagangan termasuk menerusi rundingan dua hala bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara ahli Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya perjanjian itu tidak dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini termasuk meninjau peluang dengan negara yang masih belum mempunyai FTA dengan Malaysia iaitu Kanada, Mexico dan Peru.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar perdagangan terbuka, Malaysia akan terus meneroka peluang menerusi rundingan dua hala dengan pasaran besar ini meskipun TPPA tidak dapat direalisasikan.

“Bagaimanapun, sebarang perkembangan atau langkah seterusnya akan dibincangkan sesama ahli TPPA pada sesi mesyuarat menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Lima, Peru minggu depan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan sektor pembuatan aeroangkasa Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, Mustapa menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam berkata, Malaysia akan terus memantau rapat perkembangan TPPA di bawah tampuk pemerintahan Presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Jika AS membuat keputusan untuk tidak mengesahkan pembabitannya dalam TPPA, kita akan mengadakan perbincangan dengan negara anggota yang lain bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Mustapa menjelaskan bahawa TPPA tidak akan dilaksanakan sekiranya AS menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu.

Menurutnya, ini disebabkan oleh syarat perjanjian itu yang memerlukan pengesahan sekurang-kurangnya enam negara atau 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesemua 12 negara anggota untuk menguatkuasakannya.

“Bagi AS saja, KDNK negara itu membentuk 60 peratus daripada jumlah KDNK negara anggota TPPA. Ia bererti, TPPA tidak boleh dikuatkuasakan tanpa penyertaan AS,” katanya.

TPPA membabitkan 12 negara iaitu AS, Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 6:51 AM