VIRUS dianggotai Taukeh (dari kiri), Zizan dan Pak Yus.
VIRUS dianggotai Taukeh (dari kiri), Zizan dan Pak Yus.
Oleh Norhayati Nordin

Pentas persaingan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang membuka tirai pada Jumaat lalu nyata begitu ditunggu-tunggu penonton. Bahkan, sambutan diberikan cukup hangat.

Dewan Teater Diraja Selangor Shah Alam yang menjadi lokasi persaingan 15 kumpulan terpilih berentap dipenuhi penonton. Seawal jam 8 malam, orang ramai sudah mula hadir.

Pun begitu, menariknya persaingan MLM 2014 kali ini tentunya penonton mahu menyaksikan bagaimana gandingan Zizan bersama Jambu sebagai kumpulan Virus.

Ternyata apa yang diharapkan penonton daripada tiga figura pelawak generasi baru tanah air ini tidak menghampakan. Persembahan Virus menghiburkan.

Taukeh atau nama sebenarnya Zamatul Amri dan Yusri Edoo (Pak Yus) yang ditemui media selepas persaingan minggu pertama itu mengakui mereka berpuas hati dengan persembahan Zizan Razak.

Kata Taukeh, menyedari harapan peminat dan penonton kepada persembahan kumpulan Virus agak tinggi, mereka perlu serasi di atas pentas.

"Saya tidak sangka sebenarnya kami berdua dan Zizan mampu mewujudkan keserasian dalam persembahan dilakukan. Maklum saja, ini gandingan kali pertama kami bertiga.

"Apa yang pasti, kami hanya mahukan penonton terhibur dengan jenaka dipersembahkan. Jadi, kami melakukan apa yang termampu.

"Gembira dan seronok juga apabila melihat penonton memberikan sokongan yang baik kepada kami. Nampaknya gabungan Virus serasi," katanya.

Menurut Taukeh, memandangkan Virus juga adalah gabungan kumpulan baru membuatkan mereka bertiga harus memastikan kelainan pada persembahan. Katanya, ia penting untuk penonton.

Bagi Pak Yus pula, yang pasti mereka bertiga sudah sedaya-upaya memberikan persembahan yang baik dan menghiburkan kepada penonton.

"Saya, Taukeh dan Zizan sentiasa memastikan jenaka kami bersahaja dan tiada persamaan dengan Jambu ataupun Jozan. Bagi kami, yang penting ada kelainan.

"Jadi, kami saling mengingati di antara satu sama lain supaya berhati-hati dan teliti dalam persembahan dibuat. Syukur, usaha kami berhasil," katanya.

Mengharapkan persembahan Virus menjadi, seterusnya berjaya menghiburkan penonton setiap minggu, Pak Yus berkata, persaingan semua kumpulan dilihat cukup sengit.

Masih dihoskan Datuk AC Mizal, barisan kumpulan yang berentap pada persaingan MLM 2014 kali ini Sepahtu, Shiro, Bocey, Nabil, Comey, SYJ, Jalor, Ekzos, Samurai, Zero, Shake dan Wala.

Bahkan, pada persaingan minggu pertama itu juga diumumkan dua kumpulan tersingkir sekali gus iaitu Kepoh dan Sayot. Mereka terpaksa akur kerana meraih markah rendah daripada juri dan SMS penonton.

Berdasarkan keputusan keseluruhan dicatatkan, tangga teratas menjadi milik kumpulan Sepahtu dengan markah 54.2 peratus. Diikuti, Virus yang terpaksa akur di tangga kedua dengan markah 50.7 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:03 AM