Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) yang diadakan bermula esok hingga Ahad ini membabitkan penyertaan 227 pempamer menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan koperasi dari dalam dan luar negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, seramai 200,000 pengunjung dijangka mengunjungi MACCOPS yang diadakan selama empat hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

“Pada tahun lalu, sambutan diterima memberangsangkan dan buat kali kedua tahun ini, kami menjangkakan perkara sama dan mungkin lebih besar lagi.

“Ini kerana, MACCOPS ialah satu jenama yang akan mengetengahkan produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia kepada masyarakat tempatan umumnya serta dunia khasnya,” katanya di sini, baru-baru ini.

Karnival bertemakan ‘Bersama Mengukuhkan Jaringan Ekonomi Koperasi’, penganjuran MACCOPS pada kali ini turut menerima penyertaan koperasi dari Thailand, Brunei, Indonesia dan Kemboja.

Beliau berkata, antara produk dan perkhidmatan MACCOPS 2015 adalah pelancongan dan penjagaan diri, kesihatan, pertanian dan perladangan, hartanah, kewangan, peruncitan dan pemborongan, komuniti serta telekomunikasi.

Abdul Fattah berkata, program berkenaan akan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin.

“MACCOPS membantu orang ramai mendapatkan produk dan perkhidmatan koperasi daripada lebih 200 pempamer. Ia juga membuka peluang pasaran lebih luas bagi produk koperasi terutama kepada sasaran pasaran antarabangsa,” katanya.

Karnival itu juga bakal diserikan dengan kehadiran selebriti tanah air seperti Man Kidal, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan dan Ifa Raziah yang akan membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 6:50 AM