ASNITA bersama replika kunci Proton Iriz.
ASNITA bersama replika kunci Proton Iriz.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki. Sebelum ini pun, saya kerap memenangi hadiah cabutan bertuah namun hadiah Proton Iriz adalah yang paling besar pernah diterima.

“Saya anggap ini rezeki, saya tiada apa-apa rahsia cuma sering mengerjakan solat sunat Dhuha dan amalan ayat 1,000 Dinar.”

Demikian kata-kata pemenang cabutan bertuah perdana sempena majlis penutup Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2017, Asnita Musaraha, 47, dari Pulau Pinang.

Asnita yang juga ibu kepada empat anak berkata, dia datang ke karnival berkenaan bersama anaknya untuk melihat barangan dipamerkan.

“Kenalan rapat saya memang tahu jika ada cabutan bertuah, saya selalu menjadi orang bertuah.

“Hari ini (semalam) Alhamdulillah, ini hadiah paling besar. Saya pun tidak sangka boleh bawa pulang kereta dengan berbelanja hanya RM200 untuk membeli produk yang dipamerkan,” katanya selepas diumumkan menjadi pemenang, semalam.

Cabutan bertuah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong.

Henry berkata, penganjuran MACCOPS kali ini disifatkan lebih berjaya berbanding sebelum ini dengan peningkatan jualan produk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 12:35 PM