Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) menyifatkan kemenangan pertama yang diraih dalam aksi Kumpulan A saingan Siri Super Akhir, hari ini cukup penting bagi mencerahkan laluan ke separuh akhir.

Pemain nombor dua dunia itu tampil dengan tahap keyakinan tinggi apabila tidak berdepan masalah menewaskan cabaran pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-14, 21-13 di Kompleks Sukan Hamdan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Selepas juara Olimpik 2016, Chen Long menarik diri kerana mengalami kecederaan lutut, Chong Wei, berkata dia tidak mempunyai pilihan selain menang perlawanan pertama kumpulan.

“Saya bermain dengan baik hari ini. Perlawanan hari ini memang sangat penting untuk saya kerana Chen Long tarik diri dan hanya tinggal tiga pemain dalam kumpulan.

“Jadi, kemenangan perlawanan pertama sangat penting bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir. Esok kita tunggu keputusan perlawanan antara Ka Long dengan Son Wan Ho (Korea Selatan). Jika Ka Long menang, jadi saya perlu buat penentuan dengan Wan Ho (Jumaat ini),” kata Chong Wei ketika dihubungi di Dubai hari ini.

Hanya dua pemain terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan akan bertemu juara dan naib juara Kumpulan B yang dibarisi pemain India, K Srikanth, Shi Yuqi (China), Viktor Axelsen (Denmark) dan Chou Tien Chen (Taiwan).

Sebagai rekod, Chong Wei tidak pernah bergelar juara sejak Siri Super Akhir yang berlangsung di Dubai sejak 2014 dan kejohanan kali ini adalah yang terakhir berlangsung di sana.

Pada edisi 2014, Chong Wei tidak dapat beraksi di Dubai kerana digantung susulan kes doping manakala pada 2015 dia gagal melayakkan diri. Edisi tahun lalu menyaksikan dia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Chong Wei sudah empat kali menjuarai Siri Super Akhir bermula pada 2008 di Kota Kinabalu, 2009 (Johor Bahru), 2010 (Taiwan) dan 2013 (Kuala Lumpur).

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Tey Seu Bock yang menemani Chong Wei di Dubai memuji prestasi ditunjukkan pemain itu yang menyaksikan dia kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Dia bermain dengan sangat baik dan tahap keyakinannya cukup tinggi untuk memenangi perlawanan pertama. Dia juga sentiasa fokus sepanjang perlawanan.

“Dia berjaya mengawal gelanggang dengan baik. Saya fikir ini kemenangan yang positif dan diharapkan dia boleh mengekalkan rentak ini apabila menghadapi perlawanan seterusnya,” kata Seu Bock.

Seu Bock, berkata tempoh rehat sehari esok akan digunakan sebaiknya bagi memulihkan pemain berusia 35 tahun itu agar dia berada pada tahap terbaik apabila bertemu Wan Ho dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 7:23 PM