LEBIHAN berat badan selain tidak kerap bersukan antara penyebab utama.
LEBIHAN berat badan selain tidak kerap bersukan antara penyebab utama.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Menikmati hidangan lazat serta pengambilan makanan segera tidak terkawal menjadi antara kegemaran dan pilihan kebanyakan rakyat Malaysia terutama yang sentiasa sibuk dengan tuntutan tugas harian selain individu tidak mementingkan penjagaan kesihatan.

Memuaskan nafsu dengan menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang lazat pada hakikatnya bukanlah suatu kesalahan, namun disebabkan kebanyakan makanan itu tidak menyihatkan menjadikan ia perlu diteliti sebelum pengambilannya.

Pastinya sering bermain di fikiran setiap individu, makanan yang sihat itu tidak menyelerakan, tidak lazat dan berasa hambar, namun tanggapan itu ternyata salah dan perlu ditangkis.

Pengambilan makanan yang tidak sihat serta gaya hidup tidak seimbang berkait rapat dengan penyakit diabetes yang menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Tanggapan umum menyatakan penyakit itu hanya dapat dikesan dan dihidapi golongan dewasa atau individu yang memiliki lebihan berat badan ternyata tidak tepat sama sekali.

Ia disebabkan pada hakikatnya penyakit diabetes dikategorikan sebagai antara penyakit kronik paling kerap dihidapi kanak-kanak serta golongan muda selain menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2014 menunjukkan rakyat Malaysia dikategorikan sebagai antara rakyat paling ramai mempunyai masalah berat badan.

Lebihan berat badan selain tidak kerap bersukan menjadi antara penyebab utama penyakit diabetes itu mula menyerang.

Ketua Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia Bukit Rimau Dr Ng Lee Li berkata, kajian mendapati gaya hidup tidak seimbang, waktu bekerja yang panjang dan pengambilan makanan tidak terkawal menjadi risiko terbesar diabetes.

“Peningkatan jumlah individu yang menghidap diabetes setiap tahun amat membimbangkan dan ia perlu ditangani segera.

“Semuanya perlu dikawal terutama gaya hidup harian kerana ia mempe­ngaruhi tahap kesihatan sese­orang dan akhirnya individu itu disahkan menghidap diabetes,”katanya.

Menurutnya, sejajar de­ngan sambutan Hari Diabetes Dunia baru-baru ini, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit itu perlu lebih ditekankan kepada setiap individu dengan lebih serius.

“Jangan menganggap ia perkara remeh dengan meneruskan rutin harian tidak sihat terutama daripada aspek pemakanan.

“Lakukan senaman, makan secara sihat dan bertemulah dengan pakar bagi bersama-sama mengawal atau menangani penyakit itu sekiranya anda mula merasai tanda kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Diet Columbia Asia Kong Woan Fei berkata, purata pengambilan gula dalam sehari bagi setiap individu adalah 11 sudu teh, namun kebanyakan rakyat Malaysia mengambil gula sehingga 24 sudu teh setiap hari.

“Angka itu amat membimbangkan kerana pengambilan gula tidak terkawal pada seseorang itu menyebabkan berlaku pelbagai risiko penyakit terutama diabetes.

“Disebabkan itu, setiap individu perlu sedar dan sayangi diri dengan menjaga pengambilan makanan setiap hari,” katanya.

Di sini, Kong berkongsi tip untuk makan secara sihat bagi mengurangkan risiko diabetes juga kepada penghidap diabetes:

- Hadkan kemanisan minuman bagi membantu mencegah diabetes.

- Kiraan karbohidrat dan jumlah pengambilan karbohidrat adalah lebih penting daripada jenis karbohidrat yang anda makan.

- Jangan meninggalkan pengambilan karbohidrat walaupun sekiranya anda pesakit diabetes kerana ia sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

- Buah-buahan boleh dikategorikan sebagai makanan mesra diabetes tetapi perlu mengambilnya sebagai sebahagian daripada karbohidrat harian anda.

- Kawalan saiz hidangan adalah kejayaan utama dalam mana-mana pelan pengurusan diet.

- Makan secara berlebihan berlaku kerana individu itu cenderung untuk memuaskan nafsu seleranya.

- Makan sebahagian kecil daripada makanan yang anda suka.

- Keinginan untuk menikmati makanan masin akan berkurangan apabila anda mula mengurangkan secara beransur-ansur pengambilan garam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:01 AM