SHAFIEN (tiga kiri) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Ayusliza Azizan
SHAFIEN (tiga kiri) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Ayusliza Azizan
Oleh Ayusliza Azizan


Shah Alam: Dua kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Wan Botak' dan 'Geng Joker Raja' yang aktif dalam kegiatan samun kenderaan serta pecah rumah sekitar Shah Alam tumpas selepas 10 suspek ditahan polis dalam beberapa serbuan semalam dan hari ini.

Dalam serbuan itu polis menahan 10 suspek membabitkan enam ahli Geng Wan Botak berusia 19 hingga 27 tahun manakala empat suspek ahli Geng Joker Raja berusia 18 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dengan tertangkapnya dua kumpulan penjenayah itu polis percaya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan samun kenderaan dan pecah rumah di daerah itu.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas empat kereta dan motosikal yang dipercayai dicuri serta beberapa peralatan pecah rumah termasuk parang.

"Polis masih memburu saki baki ahli kedua-dua geng berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 2:37 PM