BARISAN pelakon Star Trek : Enterprise.
BARISAN pelakon Star Trek : Enterprise.
Susunan Michelle Gun


Siri televisyen popular Star Trek bukan asing dalam kalangan peminat fiksyen sains dan mempunyai pengikut setia di seluruh dunia.

Selepas menamatkan Star Trek: Enterprise 10 tahun lalu, stesen televisyen CBS mengumumkan bakal membawa kembali siri baru itu di kaca televisyen pada Januari 2017.

Belum diberikan judul lagi, siri itu akan memperkenalkan watak baru meneroka planet dan alam semesta baru.

Alex Kurtzman yang pernah menerbitkan filem Star Trek pada 2009 dan Star Trek Into Darkness (2013) dilantik sebagai penerbit eksekutif.

Bagaimanapun, episod baru Star Trek hanya boleh ditonton dalam laman digital CBS All Access dan hanya siaran khas disiarkan di saluran CBS.

Dengan itu, siri terbabit akan menjadi program televisyen terbesar yang pertama disiarkan dalam talian.

Bakal meraikan ulang tahun ke-50 tahun depan, Star Trek antara francais hiburan paling laris sepanjang zaman.

Siri pertama Star Trek pada 1966 menjadi inspirasi untuk menghasilkan 12 filem serta lima lagi siri televisyen yang masih ditayangkan di lebih 190 negara menerusi pelbagai platfom media.

Namun sebelum siaran siri baru itu, filem ke-13 Star Trek Beyond terlebih dahulu menemui peminatnya tahun depan.

Ia adalah sekuel kepada Star Trek Into Darkness yang ditayangkan pada 2013 dan diarahkan oleh Justin Lin.

Pelakon Chris Pine dan Zachary Quinto akan kembali sebagai Kapten James T Kirk dan Komander Spock.

Turut berganding dengan mereka adalah Simon Pegg, Karl Urban, Zoe Saldana, John Cho dan Anton Yelchin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:54 AM