Kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan pembaca
Kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan pembaca
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Maran: Suami isteri masing-masing berusia 24 tahun maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh belakang treler muatan baja di Kilometer 159.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, mangsa, Thoo Liang You dan isterinya Yap Li Ping maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Bukit Setongkol, Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Thoo merempuh bahagian belakang treler membawa muatan baja yang bergerak perlahan di lorong kiri.

"Akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, Thoo dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk dan tidak menyedari kehadiran treler berkenaan di hadapan kenderaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 12:40 PM