ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
FRANKIE turut berlakon dalam filem ini.
FRANKIE turut berlakon dalam filem ini.
BAKAT baru yang menjayakan filem Ola Bola.
BAKAT baru yang menjayakan filem Ola Bola.
BRONT pegang watak pengulas sukan.
BRONT pegang watak pengulas sukan.
ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
ANTARA babak dalam filem Ola Bola.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan sekadar diilhamkan daripada kisah benar, filem Ola Bola turut memaparkan semangat juang pemain bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Russia pada 1980.

Filem sentuhan pengarah ‘box-office’ The Journey, Chiu Keng Guan turut menampilkan aktor hebat, Bront Palarae dan penampilan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 27(FFM), Frankie Lee.

Selain itu, ia turut mempertaruhkan barisan bakat baru seperti Muhd Luqman Hafidz, Chee Jun Cherng dan Low Sin Mun.

Selaku pengarah, Keng Guan mengakui dia sudah lama ingin menghasilkan filem berkaitan sukan bola sepak dan baru sekarang ia tercapai.

“Saya memang peminat bola sepak dan pernah menjadi penyerang utama untuk pasukan bola sepak sekolah dan di peringkat universiti dulu.

“Selepas terbabit dalam bidang perfileman, saya bertekad menghasilkan filem mengenai bola sepak ini. Sebenarnya, saya ingin mengimbau semula sejarah dan zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik itu,” katanya.

Bagaimanapun, Keng Guan mengakui dia berdepan cabaran besar untuk menghasilkan filem berkenaan.

“Cabaran utama adalah mendapatkan situasi latar belakang cerita pada era penghujung 1970-an dan awal 80-an. Banyak kajian yang perlu dilakukan dan saya juga terpaksa mengambil khidmat tenaga pakar dari luar seperti Argentina untuk memastikan teknik imej benar-benar seperti pada era terbabit.

“Selain melakukan kajian secara menyeluruh terhadap sukan bola sepak termasuk ke Brazil, saya turut mendapatkan pandangan bekas jurulatih skuad bola sepak negara pada waktu itu, Karl-Heinz Weigang,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem berkenaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengarah yang sangat mengagumi legenda bola sepak tempatan Allahyarham Mokhtar Dahari berkata, pihaknya terpaksa mencari lebih 40 pelakon tambahan keturunan Inggeris dan Korea Selatan untuk menjayakan babak perlawanan bola sepak dengan beberapa pasukan negara luar.

“Kita ada babak perlawanan dengan pasukan luar negara dan membabitkan lebih 40 pelakon luar termasuk dari Korea Selatan. Kita mahu pelakon terbabit juga tahu bermain bola sepak untuk menampakkan seperti dalam perlawanan sebenar.

“Filem ini mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan kerana ia membabitkan kajian yang terperinci membabitkan temubual, melihat foto asal dan pakaian mengikut era berkenaan. Pemilihan barisan pelakon juga membabitkan mereka yang memang mahir bermain bola sepak kerana perlu menjayakan babak perlawanan bola sepak di padang.

“Selain tenaga pakar dari luar, saya turut mendapatkan khidmat beberapa kru tempatan dalam babak yang dihasilkan sepanjang penggambaran selama 50 hari di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang sejak April 2015,” katanya.

Ditanya sama ada filem Ola Bola lebih hebat daripada The Journey, Keng Guan berkata, pihaknya menjanjikan kualiti dan kelainan dalam filem itu.

“Saya juga berdepan tekanan kerana tanggapan orang pada saya juga sangat tinggi selepas kejayaan The Journey yang mencatat kutipan keseluruhan sebanyak RM17.6 juta sebelum ini.

“Apapun, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini kerana ia khusus untuk rakyat Malaysia. Pada masa sama, filem ini turut menggunakan 60 peratus bahasa kebangsaan dan selebihnya bahasa Tamil dan Mandarin,” katanya.

Pertaruh bakat baru dalam Ola Bola

Pengarah hebat ini turut memiliki alasan kukuh untuk mempertaruhkan bakat baru menjayakan filem Ola Bola.

Menurutnya, dia juga lebih selesa menampilkan bakat baru dalam filemnya berbanding pelakon popular.

“Saya mahukan pelakon yang boleh bermain bola sepak untuk merealisasikan filem ini. Sepanjang penggambaran barisan pelakon muda ini juga menampilkan prestasi yang bagus seperti dikehendaki jalan cerita filem ini,” katanya.

Mengenai pemilihan Bront pula, kata Keng Guan, pelakon berkaliber itu tepat untuk melakonkan watak pengulas sukan iaitu Rahman dalam filem itu.

“Saya percaya, gabungan pelakon baru dan lama mampu memantapkan lagi filem ini. Bront turut mendapatkan bimbingan daripada pengulas sukan terkenal iaitu Abdullah Hashim selama sebulan sebagai persediaan untuk menjiwai wataknya itu. Jika nak diikutkan, Bront juga ada pengalaman bermain bola sepak sebelum ini. Dia pernah bermain untuk skuad remaja Kedah satu ketika dulu,” katanya.

Sementara itu, Chee Jun Cherng berkata, dia juga berdepan cabaran untuk melakonkan watak sebagai Tauke dalam filem itu.

“Saya akui berlakon sememangnya lebih sukar dari bermain bola sepak. Antara cabaran terpaksa dihadapi, kami perlu menjalani latihan intensif ala komando bagi mendapatkan stamina terbaik dalam filem berkenaan,” katanya.

Seorang lagi pelakon, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi yang membawakan watak sebagai Ali pula berkata, dia turut menimba pengalaman berharga bekerja dengan pengarah hebat seperti Chiu.

“Antara pengalaman sukar dilupakan ialah menjayakan babak di padang bola selama berjam-jam tanpa mengira cuaca. Saya juga terlupa dialog sekali-sekala,” katanya.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Saran Kumar, Lim Jian Wen dan Katrina Ho Fooi Tin serta dijangka ditayangkan pada Februari depan.

Sinopsis

Berlatarkan penghujung era 1970-an, filem Ola Bola berdurasi 1 jam 51 minit ini diterbitkan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Woohoo Pictures. Ia diilhamkan daripada kisah benar dan menceritakan mengenai semangat juang pasukan bola sepak negara untuk bangkit daripada kekecewaan, sekali gus muncul wira negara.

Kehilangan Tauke yang mengundur diri gara-gara masalah kewangan juga menyukarkan skuad itu, namun, segala rintangan dapat diatasi terutamanya dengan kehadiran ‘pemain no. 12’ iaitu ribuan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong skuad negara di stadium ketika berdepan lawan yang jauh lebih kuat pada waktu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:55 AM