Mohamad Roy (dua dari kanan) menunjukkan barangan dirampas daripada suspek. FOTO Nabihah Kamal
Mohamad Roy (dua dari kanan) menunjukkan barangan dirampas daripada suspek. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nabihah Kamal

Kuala Lumpur : Lapan ahli kumpulan geng samun termasuk seorang remaja perempuan yang diburu polis berhubung kes samun dalam lif di Setapak yang ‘viral’ di laman sosial sejak 17 Oktober lalu ditahan di Wangsa Maju dan Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya membuat siasatan rapi berhubung kes berkenaan dan menyerbu sebuah hotel di Jalan Kampung Batu dekat Jalan Ipoh untuk menahan sekumpulan lima suspek.

"Dalam operasi pertama pada 12 tengah hari itu kami menahan empat lelaki dan seorang remaja perempuan yang mana seorang daripadanya individu di dalam video berkenaan.

"Susulan penahanan itu, 40 minit kemudian, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Setapak Indah dan menahan seorang lelaki tempatan yang berusia 25 tahun," katanya pada sidang media, petang tadi.

Menurutnya, beberapa jam kemudian, dua lagi suspek lelaki berusia 26 dan 33 tahun ditahan di Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:54 PM