HUP Wei sudah lupakan hasrat beraksi di Sukan SEA, beri peluang kepada atlet muda.
HUP Wei sudah lupakan hasrat beraksi di Sukan SEA, beri peluang kepada atlet muda.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: “Saya tidak pergi ke Sukan SEA 2015 Singapura,” itu jawapan mudah atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menimbang untuk menyenaraikan namanya ke temasya itu minggu ini.

Menurut pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu, tumpuannya sekarang ini adalah Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2015 di Wuhan, China yang akan berlangsung seminggu Sukan SEA.

“Kejohanan Asia itu seminggu sebelum Sukan SEA. Lagi pun saya melayakkan diri selepas tarikh tutup,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim mengakui mahu berbincang dengan Pengarah Teknikal badan induk itu, Robert Ballard sama ada mahu menyenaraikan Hup Wei atau tidak.

Hup Wei berkata, bagi temasya kali ini biarlah atlet remaja yang pergi merujuk kepada Muhammed Ashraf Saipu Rahman.

Ashraf berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA Singapura bersama penyandang pingat emas, Nauraj Singh dan catatan mereka dibuat sebelum KOM menyerahkan senarai nama atlet kepada MOM 1 April lalu.

“Saya hanya akan menumpukan perhatian kepada Kejohanan Asia dan tidak kisah jika tidak pergi ke Sukan SEA.

“Saya rasa tidak ada isu mengenai siapa yang akan pergi,” kata Hup Wei yang belum menetapkan sebarang sasaran di Kejohanan Olahraga Asia itu.

Kelmarin, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menganggap ia keputusan tidak tepat jika menggantikan Ashraf dengan Hup Wei.

Atlet kelahiran Selangor itu sebelum ini bergelut dengan kecederaan pinggul dan berehat selama sembilan bulan.

Dia kembali berlatih dan beraksi seperti biasa sejak dua bulan lalu dan hujung minggu lalu baru berjaya melepasi had kelayakan ke Sukan SEA apabila melakukan lompatan 2.17 meter pada Terbuka Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:58 AM