Oleh Norhayati Nordin


Selain membina kejayaan tersendiri melalui karier dan pembabitan dalam industri hiburan, pencapai­an Datuk Rosyam Nor, 48, boleh dianggap lengkap.

Bukan sekadar berstatus ‘datuk’ bersandarkan sumbangan besar dalam industri, lebih menggembirakan lagi apabila Rosyam sememangnya datuk yang sudah bercucu daripada anak sulungnya, Arniesha Azureen dan suami, Mohd Hafiz Mohd Said yang bernikah pada 12 Mei 2013.

Berkongsi cerita mengenai cucunya, Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin berkata, cucu sulung yang diberi nama Hanan Adraa Mohd Hafiz itu kini berusia setahun lapan bulan.

“Seronok sebenarnya apabila sudah bercucu dan saya sangat bersyukur Allah memberikan nikmat kebahagiaan ini lebih awal untuk dirasai.

“Sekarang Hanan makin membesar dan pada usianya mencecah setahun lebih ini, dia sudah pandai berjalan dan mula belajar cakap.

“Meskipun tidak tinggal serumah, setiap kali Hanan datang ke rumah saya, memang suasananya makin meriah. Dia pula sudah tahu macam-macam dan pandai bermain,” katanya.

Kata Rosyam, perasaan memiliki cucu sama sekali berbeza dengan anak. Katanya, cucu memang lebih dimanjai.

“Kalau dengan anak, sebagai ibu bapa kita perlu tegas dalam memberikan didikan. Namun, soal cucu pula lebih kepada ke arah mencurah kasih sayang.

“Sangat bahagia dan jika dulu saya berpeluang melihat anak membesar depan mata, kini semestinya giliran cucu pula,” katanya.

Rosyam yang baru selesai menjadi pengacara Da’i musim ketiga di TV3 berkata, dia masih menyahut cabaran dalam penerbitan filem.

Meskipun filem Isyarat Cinta terbitan produksinya RK Screen gagal di pasaran, dia tetap bersyukur. Katanya, kutipan RM700,000 yang diraih Isyarat Cinta itu agak besar juga jumlahnya kerana ada filem lain kurang bernasib baik.

“Kini saya masih dalam perancangan untuk menerbitkan karya baru, Appoinment With Allah yang akan diarahkan Bade Azmi.

“Bagi karya ini, ia menjurus kepada kandungan cerita bergenre Islamik dan kerohanian. Sekarang masih dalam pembikinan skrip lebih teliti dan mantap.

“Satu lagi filem baru terbitan RK Screen, Rempit Sampai Langit arahan Bade juga kini dalam proses post produksi menyiapkan CGI,” katanya.

Masih menaruh keyakinan tinggi pada industri perfileman tempatan, Rosyam berkata, kejayaan filem Polis Evo di pawagam menjadi penanda aras baru.

“Siapa kata filem Melayu tak boleh laku. Ia mampu jadi kenyataan jika ada skrip bagus, dana pelaburan yang baik untuk menghasilkan filem berkualiti dan jentera promosi berkesan.

“Sekarang penonton filem bukan saja bijak, tetapi bersikap memilih. Dalam soal ini, mereka semestinya mahu menonton karya yang baik.

“Tiket wayang pun bukan murah dan penonton mahukan cerita berbaloi untuk ditonton setanding harga tiket dibeli,” katanya.

Turut aktif menerbitkan drama melalui produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd miliknya, Rosyam berkata, penghasilan telefilem Tribute P Ramlee untuk RTM akan bermula tidak lama lagi.

Bagi musim baru ini, akan memberi peluang kepada beberapa pengarah baru untuk berkarya. Masih mengekalkan konsep sama iaitu kupasan melalui lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang diolah menjadi satu cerita dan kisah bermesej.

Mengenai pembabitannya dalam pengacaraan, Rosyam akui tidak menyangka penonton mampu menerima cara persembahannya.

Katanya, seiring dengan peningkatan usianya mengacarakan program berkonsep dakwah adalah pilihan tepat.

“Saya gembira mengacarakan Da’i kerana banyak ilmu berkaitan agama yang saya peroleh. Bahkan saya tenang mengemudi program itu.

“Ditambah, saya juga kagum melihat bakat anak muda Melayu sama ada lelaki atau wanita yang bijak berceramah dalam menyampaikan dakwah,” katanya.

Rosyam juga akui ada segelintir penonton memanggilnya ustaz, tetapi baginya dia belum layak ke tahap itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:04 AM