FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Dr Mundzir Abdullah muncul graduan Doktor Falsafah (PhD) (bidang fizik) termuda negara di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

Dia yang berusia 23 tahun turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).

Dr Mundzir berkata, dia tidak menyangka merangkul rekod gelaran terbabit pada usia berkenaan.

"Bagi saya, ilmu diterima bukan diukur dengan usia. Bahkan, ada ketika saya hampir putus asa ketika menyiapkan tugasan penyelidikan dalam bidang aplikasi laser.

“Tapi, saya benar-benar bersyukur dikurniakan keluarga yang benar-benar memahami.

"Malah, tenaga akademik serta teman sering memberi sokongan membuatkan saya semakin kuat untuk menyempurnakan tugasan berkenaan.

"Alhamdulillah dalam kajian berkenaan saya bersama penyelia berjaya memperkenalkan teknik baru dalam penentuan kondisi optimum bagi beberapa parameter pemprosesan berbanding situasi kebiasaannya," katanya.

Dr Mundzir turut menerima Anugerah Pro-Canselor.

Selain itu, Anugerah DiRaja terdiri daripada Muhammad Noor Yassin Mohd Yusof dan Foo Shi Hao.

Untuk rekod, kejayaan Dr Mundzir mengatasi pencapaian Dr Hazzirah Izzati Mat Hashim yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, yang menjadi graduan PhD termuda pada usia 24 tahun, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 4:32 PM