BARRY (kiri) bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia.
BARRY (kiri) bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Sepang: Pengurus pasukan Petronas Raceline Malaysia Barry Leong yakin Hafizh Syahrin Abdullah mampu bersaing secara konsisten dalam kelompok depan selepas 10 lagi perlumbaan.

Jelas Barry, keputusan semasa menunjukkan pelumba negara itu mempamerkan peningkatan ketara selain sangat membantu rakan sepasukan dalam menyalurkan maklumat pengalamannya ketika beraksi di litar.

“Dalam saingan Moto2, menyediakan jentera dengan baik secepat mungkin sangat penting.

“Jika mampu mencatatkan masa terpantas pada sesi latihan bebas, anda pasti dapat mengulangi prestasi itu pada perlumbaan sebenar.

“Hafizh masih baru dalam kelas Moto2 dan meskipun pasukan menyediakan jentera terbaik untuknya, setiap pelumba mempunyai gaya tunggangannya tersendiri.

“Dia sudah menampakkan peningkatan kerana semakin kerap mampu memberikan maklumat tepat kepada rakan sepasukan.

“Saya percaya dalam 10 lagi perlumbaan, tiada masalah untuk Hafizh berada dalam kelompok 10 terbaik setiap perlumbaan,” katanya.

Jelas Barry, dia sentiasa meletakkan keyakinan serta kepercayaan tinggi terhadap Hafizh.

“Saya sentiasa percaya dia dapat mempamerkan peningkatan pada setiap perlumbaan dan mungkin satu hari nanti dapat beraksi dalam kelas tertinggi MotoGP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 10:29 AM