Kuala Lumpur: Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setakat ini akan diumum semasa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata berdasarkan Bajet 2015, kerajaan menganggarkan kutipan GST untuk 2015, bermula daripada pelaksanaannya pada April lalu, berjumlah RM23.2 bilion.

“Pelbagai barang dan perkhidmatan telah dikecualikan atau dikenakan GST pada kadar sifar yang keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (PKR-Seremban) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya pelbagai pakej bantuan diberikan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang berjumlah RM4.9 bilion serta pengurangan kadar cukai individu dan syarikat, masing-masing sebanyak satu mata peratusan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Chua berkata bagi tempoh April sehingga kini, kerajaan telah membayar balik tuntutan cukai input GST sebanyak TM4.5 bilion kepada entiti perniagaan.

Katanya kumlah tuntutan cukai input yang difailkan oleh syarikat-syarikat perniagaan dalam tempoh 14 hari bekerja telah meningkat setiap bulan dan mencecah 41 peratus.

“Pada masa sekarang, terdapat juga yang salah mengisi borang. (Namun begitu) Kerajaan juga tidak mengenakan kompaun kerana buat masa ini kita di peringkat untuk memberi bimbingan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kerajaan tidak mempunyai wang untuk membayar balik tuntutan yang dibuat oleh syarikat-syarikat terbabit. - Bernama

Kuala Lumpur: Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) berharap kerajaan melaksanakan kadar sifar bagi perkhidmatan dan produk teknologi maklumat dan komunikasi dalam Bajet 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pikom berkata langkah itu akan membantu memastikan harga kekal berpatutan untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia walaupun dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit.

“Berikutan Akta GST 2014 mula berkuat kuasa pada 1 April tahun ini, purata harga komputer dan barangan berkaitan telah meningkat, menyebabkan anggaran sehingga 30 peratus penurunan dalam permintaan bagi produk dan perkhidmatan ICT,” katanya.

Pikom berkata walaupun persatuan memuji usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan jalur lebar lebih mampu dimiliki, namun masih tidak mencukupi kerana kos sambungan Internet Malaysia masih terlalu tinggi.

“Kerajaan perlu serius untuk mengawal selia kadar harga jalur lebar syarikat-syarikat telekomunikasi dan persaingan dalam kalangan peserta untuk menggalakkan kadar pengambilan jalur lebar yang lebih besar ke arah merapatkan jurang digital serta meningkatkan penembusan di kawasan luar bandar dan yang kurang liputan,” katanya.

Pikom juga mencadangkan kerajaan agar meningkatkan tender dalam syarikat berkaitan kerajaan dalam mewujudkan keseragaman, konsisten, ketelusan dan integriti dalam proses perolehan.

“Ini termasuk kos standard dan seragam bagi dokumen tender. Walaupun Pikom mengakui terdapat keperluan untuk memastikan hanya pembida yang serius harus dibenarkan untuk mengambil bahagian, ia berharap kos semasa sehingga RM10,000 untuk dokumen tender akan dikaji semula kerana ini boleh menggalakkan atau tidak termasuk banyak pembida yang tulen, terutama daripada syarikat-syarikat lebih kecil,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:51 PM