Oleh Afiq Hanif


Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menjangkakan kelembapan jualan perkakasan teknologi sehingga 30 peratus selepas pengenalan Cukai Barangan & Servis (GST) yang mula dilaksanakan hari ini.

Produk teknologi seperti komputer dan telefon pintar selama ini tidak dikenakan sebarang cukai di bawah sistem Cukai & Jualan (SST), namun selepas GST, semua produk teknologi ini dilihat termasuk di dalam senarai cukai enam peratus GST.

PIKOM menjangkakan kenaikan harga perkakasan, perisian serta perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna kerana kos yang meningkat daripada pengenalan cukai ini akan dikenakan kepada pengguna.

Pengerusi PIKOM, Cheah Kok Hoong berkata, GST akan memperlahankan sentimen pengguna dalam berbelanja untuk produk teknologi.

“PIKOM melihat sekitar enam bulan akan datang, perkakasan dan ‘gadget’ seperti telefon pintar, PC, laptop, pencetak dan pelbagai barangan pengguna lain akan menyaksikan trend jualan yang perlahan,” katanya.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada industri kecil dan sederhana.

Cheah menambah, PIKOM tidak melihat pembelian dan pelaburan produk teknologi oleh syarikat besar dan korporat akan terkesan daripada cukai GST ini kerana cukai enam peratus yang dikenakan pembekal boleh dituntut semula daripada Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sebagai cukai kemasukan jika mereka berdaftar dengan GST.

Untuk berdepan dengan situasi kelembapan pasaran seperti ini, PIKOM menggalakkan pekedai ICT untuk memperlihatkan perbezaan mereka untuk bersaing secara kompetitif dalam pasaran.

“Mereka boleh memanfaatkan penggunaan teknologi untuk mengurangkan kos di samping mengekalkan pelanggan dalam pasaran yang sering berubah dengan pantas ini,” katanya.

Sementara itu, Xiaomi antara syarikat pertama yang terkesan dengan GST apabila membuat pengumuman kenaikan harga satu produk mereka, Redmi Note 4G.

Sebelum ini, Redmi Note 4G dijual di Malaysia pada harga RM589 di laman web rasmi Mi Malaysia minggu lalu, tetapi Xiaomi akan menjual Redmi Note 4G dengan harga baru iaitu RM645.

Oppo Malaysia pula mengumumkan tiada sebarang kenaikan harga untuk semua produk Oppo selepas 1 April 2015.

Ia mengambil keputusan untuk menyerap GST yang dikenakan ke atas produk Oppo yang bermakna harga bagi sembilan produk mereka akan kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 11:14 AM