Sejak mempunyai teman wanita berkedudukan tinggi, pelakon ini memandu kereta mewah.

Jika ada penggambaran drama dia akan meletakkan kereta itu betul-betul di depan lokasi dan siapa yang lalu berhampiran kereta itu pasti bertanya siapakah pemiliknya termasuk SS sendiri.

Bukannya SS cemburu, tetapi SS bangga kerana anak seni sekarang sudah mampu hidup mewah dengan hasil berlakon yang secara langsung menepis tanggapan masyarakat bekerja sebagai pelakon atau penyanyi, tak boleh hidup senang.

Bagaimanapun, ketika SS tak habis-habis mengagumi kemewahan yang dikecapi pelakon itu, tiba-tiba ada suara menyampaikan kepada SS kereta mewah itu bukan dia punya, tetapi milik kekasih hatinya.

Kini kereta itu sudah ‘ditarik’ balik kerana khabarnya dia menduakan wanita itu.

Selama mereka bercinta memang banyak dugaannya apabila pelakon itu sering dikaitkan dengan ramai wanita, namun kekasihnya tetap bersabar dengan memberi alasan percayakan pelakon itu.

Namun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Jika sudah lebih 10 orang bercakap mengenai kecurangan pelakon itu, pasti ada juga kebenarannya.

Barangkali teman wanita pelakon itu sudah panas telinga, hati pedih bagai ditusuk sembilu lalu dia tidak mampu mempertahankan lagi cinta mereka.

Berserta hati yang remuk redam, dia bukan saja membawa diri jauh daripada pelakon itu dan paling sadis, kereta mewah dinaiki pelakon itu diangkutnya sekali.

SS: Cari harta sendiri supaya tidak menjadi ungkitan di belakang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 8:00 AM