UEME mempunyai prospek pertumbuhan positif.
UEME mempunyai prospek pertumbuhan positif.
BERNAMA

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd menetapkan saranan 'beli' ke atas saham UEM Edgenta Bhd (UEME) dengan unjuran 67 peratus kadar pertumbuhan tahunan kompaun dari tahun 2021 hingga 2023.

Dalam catatan penyelidikannya semalam, firma itu berkata, UEME syarikat penyelesaian teknologi untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dan infrastruktur itu akan menjadi penerima utama pertumbuhan daripada pembukaan semula ekonomi serta perkembangan industri penjagaan kesihatan.

"Jangkaan ini disokong oleh perolehan nilai kontraknya yang mantap iaitu RM12.2 bilion, terutama dari bahagian perkhidmatan kesihatan dan infrastrukturnya berserta kecekapan operasi melalui integrasi teknologi canggih.

"Pertumbuhan industri penjagaan kesihatan, pemansuhan larangan perjalanan rentas negeri, peningkatan kesedaran terhadap persekitaran dan pelancaran projek infrastruktur akan bertindak sebagai pemangkin untuk terus menyokong keterlihatan pendapatan UEME untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," kata UOB Kay Hian.

Firma penyelidikan itu turut maklum UEME mempunyai prospek pertumbuhan positif, disokong oleh syarikat induknya, UEM Group, yang dimiliki oleh Khazanah Nasional.

Berserta kecekapan operasi yang diperoleh melalui integrasi teknologi canggihnya, UEME mampu mencatatkan kebolehlihatan pendapatan untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dengan memanfaatkan pendigitalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:30 AM