BARANGAN yang dirampas. FOTO ihsan pembaca
BARANGAN yang dirampas. FOTO ihsan pembaca
Oleh Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Tujuh orang aktif samun dan curi motosikal di sekitar Butterworth sejak awal tahun ini dicekup polis, semalam.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 29 tahun itu juga antara dalang beberapa kejadian pecah stesen minyak dan rumah di sekitar kawasan ini.

Ketua Polis Daerah, Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, kesemua mereka dicekup berasingan sejak 8 Oktober sehingga semalam di tiga lokasi berasingan di Bukit Mertajam, Permatang Pauh dan Bukit Tengah.

Katanya, kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi tujuan siasatan.

Selain itu, polis juga menjumpai beberapa rangka motosikal dipercayai dibuang kesemua remaja berkenaan di beberapa sungai dan tong sampah di sini.

Beliau berkata, polis juga merampas peralatan mencuri motosikal serta alat ganti motosikal daripada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:52 PM