FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Lima lelaki berusia 24 hingga 32 tahun dicekup polis di Permatang Batu, di sini, 11 pagi semalam kerana terbabit dalam beberapa kejadian samun bersenjata menggunakan motosikal Yamaha 125z.

Kesemua mereka dicekup ketika serbuan di sebuah rumah di situ sebelum menemui beberapa barang curi termasuk senjata parang digunakan mereka.

Sumber berkata, antara barang yang ditemui berada bersama mereka termasuk 16 telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa barangan berharga lain.

Katanya, polis juga merampas dua bilah parang dan sebuah motosikal di situ serta sedang menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kejadian samun bersenjata di daerah itu dan sekitarnya hasil penahanan lima suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 /397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 9:58 AM