SEBUAH kenderaan tentera digunakan untuk mengangkat orang awam yang cedera selepas pertempuran dengan Taliban di Kunduz, semalam.
SEBUAH kenderaan tentera digunakan untuk mengangkat orang awam yang cedera selepas pertempuran dengan Taliban di Kunduz, semalam.
Agensi

Kabul: Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata, sembilan anggotanya terbunuh dan 30 lagi hilang selepas pesawat tentera Amerika Syarikat mengebom hospital kumpulan sukarelawan itu di Kunduz, bandar di utara Afghanistan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, kumpulan bantuan antarabangsa berkenaan berkata, pengeboman itu berlaku jam 2.10 pagi semalam.

Tentera Afghanistan yang dibantu dengan serangan udara tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran untuk menawan semula bandar Kunduz yang dikuasai Taliban sejak Isnin lalu.

Tentera Amerika Syarikat di Afghanistan mengaku mereka melancarkan serangan udara di kawasan dan masa berkenaan.

Jurucakapnya Kolonel Brian Tribus berkata, serangan itu mungkin menyebabkan kemusnahan di hospital berhampiran.

“Kami sudah memulakan siasatan,” katanya.

MSF berkata, pusat traumanya dibom berulang kali ketika kejadian dan menyebabkan ia rosak teruk.

Menurutnya, terdapat 105 pesakit dan penjaga mereka dan lebih 80 kakitangan tempatan dan antarabangsa di hospital itu ketika ia dibom.

Doktor di pusat trauma Adil Akbar yang bertugas ketika serangan itu berkata, bilik bedah, bilik kecemasan dan bahagian lain kompleks hospital itu turut terkena bom.

“Saya berjaya menyelamatkan diri selepas serangan. Tetapi saya pasti ramai kakitangan dan sebahagian pesakit mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:11 AM