SEORANG remaja yang memakai topeng berjalan berhampiran sebuah pelabuhan di Singapura yang masih dilanda jerebu semalam.
SEORANG remaja yang memakai topeng berjalan berhampiran sebuah pelabuhan di Singapura yang masih dilanda jerebu semalam.

Jakarta: Ketua Staf Presiden Indonesia, Teten Masduki berkata, Singapura harus memahami kesukaran dihadapi negara itu dalam menangani masalah jerebu yang melanda rantau ini.

Beliau juga mengingatkan, Singapura sudah menikmati udara segar yang dihasilkan dari hutan di Indonesia sejak sembilan bulan yang lalu.

Katanya lagi, sebahagian besar produk pertanian dan perlombongan dari Indonesia juga mengalir ke pelabuhan di Singapura.

“Memadamkan kebakaran di tanah gambut dan hutan bukan tugas yang mudah.

“Kerajaan melakukan apa sahaja untuk menghentikan kebakaran ini dan mereka yang bersalah menyebabkan bencana ini akan dihukum,” katanya yang dipetik agensi berita Antara semalam.

Beliau berkata demikian bagi membalas kritikan Singapura yang mendakwa Jakarta gagal untuk mengatasi masalah kebakaran hutan yang menjadi punca utama jerebu.

Asap daripada kebakaran hutan itu menyebabkan sebahagian wilayah di Indonesia dilanda Jerebu.

Masalah jerebu turut melanda Singapura dan sebahagian Malaysia yang menyebabkan sekolah ditutup.

Kebakaran hutan yang berlaku hampir setiap tahun di Indonesia berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah pertanian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:05 AM