SEORANG kru helikopter pasukan bantuan Indonesia meninjau kawasan kebakaran hutan di Pelalawan, Riau.
SEORANG kru helikopter pasukan bantuan Indonesia meninjau kawasan kebakaran hutan di Pelalawan, Riau.
Agensi

Jakarta: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas HAM) berkata, jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan tidak terkawal di Sumatera boleh dikategorikan sebagai pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan kerana membenarkan ia berlaku setiap tahun.

“Kerajaan mencabuli asas hak asasi manusia kerana tidak menghalang kebakaran hutan daripada berlaku,” kata Pesuruhjaya Komnas HAM, Roichatul.

Katanya, menghalang bencana tahunan itu daripada terjadi adalah tanggungjawab kerajaan pusat, pihak berkuasa wilayah, daerah dan bandar.

Seorang lagi Pesuruhjaya Komnas HAM, Siti Nurlaila berkata, penyebaran jerebu itu melanggar asas hak asasi penduduk mendapatkan kehidupan yang sihat.

“Penduduk sebaliknya terpaksa menyedut udara yang tidak sihat ini di rumah dan di tempat kerja,” jelasnya.

Dia juga mendesak kerajaan untuk memindahkan sementara penduduk yang terjejas terutama kanak-kanak ke lokasi yang bebas jerebu.

“Memindahkan penduduk ke kawasan selamat adalah sama penting dengan memadamkan kebakaran itu.

“Kerajaan juga perlu menyediakan tempat pembelajaran dan taman permainan dalam bangunan di kawasan yang sering terjejas dengan jerebu,” tegasnya.

Jumaat lalu, kumpulan menggelar diri mereka Pergerakan Antijerebu Riau melawat pejabat Komnas HAM di Jakarta untuk mengadu masalah jerebu.

Masalah jerebu akibat kebakaran hutan bukan sahaja menjejaskan sebahagian Indonesia tetapi turut merebak ke Malaysia dan Singapura.

Pembakaran hutan untuk aktiviti membersihkan tanah pertanian adalah punca jerebu yang melanda rantau ini hampir setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:25 AM