Oleh Wahi Aziz


Kumpulan Hujan langsung tidak menyangka perjuangan muzik mereka mampu mengembara hingga sedekad lamanya.

Jika diimbas perjalanan itu, kumpulan yang dianggotai Noh Salleh (vokal/gitar), Hezry Hafidz atau AG Coco (gitar), Azham Ahmad (dram), Izzat Uzaini (bass) dan Dimas Santoso (keyboard) sudah melalui pelbagai kisah pahit dan manis untuk berada di tahap ini.

Malah, jika disebut nama Hujan, umum sedia maklum mengenai pelbagai isu dan kontroversi pada awal kemunculan mereka sejak 10 tahun lalu.

Noh berkata, kesabaran adalah kunci kejayaan mereka dalam kembara muzik sepanjang tempoh itu.

“Kalau tanya kami, tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Dalam tempoh 10 tahun ini, apa yang kami tidak lalui? Kami pernah ditipu, dikecam, dihentam, dimaki dan dihalau.

“Namun, kami juga bangga kerana dalam tempoh itu kami menjuarai program Versus 2012 dan menang dua kategori di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009.

“Semua itu kami tidak pernah rancang dan jangkakan. Apa lagi dapat bertahan hingga 10 tahun. Paling penting adalah kesabaran sebab tiada jalan mudah untuk berjaya,” katanya.

Noh dan tiga lagi anggota iaitu AG Coco, Azham dan Izzat ditemui pada sidang media pengumuman konsert terbaru mereka bersempena 10 tahun penubuhan Hujan, baru-baru ini.

Menyambung perbualan, AG Coco berkata, Hujan tidak segah penerimaan umum seperti dilihat sekarang pada awalnya.

“Orang yang dekat dengan kami termasuk kelompok peminat Raingers tahu cabaran yang kami tempuhi pada awal dulu. Dikutuk dan di’boo’ ketika muncul membuat persembahan adalah kenangan yang tidak pernah kami lupa.

“Lagu kami juga pernah ditolak stesen radio sebelum ini, tapi kami belajar untuk melihat kekurangan diri dan muzik yang ada. Kami cuba perbaiki daripada menuding jari kepada pihak lain,” katanya.

Tak pernah berpecah

Biarpun spekulasi kononnya Hujan sudah berpecah pernah timbul berikutan kurang aktif sejak dua tahun lalu, Noh berkata, ia mungkin perkara terakhir dalam hidup yang akan mereka lakukan.

“Kami senang dengan perjuangan muzik Hujan. Dua tahun kami berehat sekejap sebab saya fokus pada projek solo Angin Kencang dan perniagaan laksa Sarawak.

“Anggota Hujan yang lain juga sibuk dengan kerja penerbitan dan pemuzik. Dimas kembali ke Indonesia untuk urusan penubuhan badan agihan royalti di sana, tapi Hujan tetap ada dan tidak pernah berkubur,” katanya.

Bersempena ulang tahun ke-10 mereka, Hujan bakal mengabadikan memori itu bersama Raingers dalam sebuah konsert istimewa #hujan10tahun di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 31 Oktober depan jam 4 petang.

Pada konsert itu, Hujan dijangka mempersembahkan lebih 20 lagu daripada album pertama iaitu 1,2,3 Go pada 2006 hingga San Enemy pada 2012.

Tiket berharga RM53 dan maklumat lanjut layari laman web www.galactix.asia/hujan10tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:58 AM