Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas konsert fizikal mereka mendapat sambutan luar biasa baru-baru ini, kumpulan Hujan bakal tampil dengan Konsert Hujan 16 Tahun secara maya pula.

Penganjurnya, LOL Asia mahu membawakan kehangatan konsert itu ke skrin bagi peminat yang terlepas konsert fizikal mereka sebelum ini.

Ia akan berlangsung pada 5 hingga 28 November ini menerusi www.wearelive.asia dengan tiket berharga RM50.

Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal berkata, konsert maya itu berlangsung mengikut empat tema berbeza iaitu 1,2,3 Go! (5 hingga 7 November), Semangat Enemy (12 hingga 14 November), Kotak Hati (19 hingga 21 November) dan Riot (26 hingga 28 November).

"Atas permintaan ramai, kami sedia untuk membawa Hujan 16 Tahun secara maya dan kami membuatnya sehebat yang boleh seperti persembahan sebenar. Kami mahu penonton berasa seperti berada di konsert sebenar.

"Persembahan secara maya itu diterbitkan selepas konsert baru-baru ini dengan mengemaskini audio dan visual. Kami mahu memberikan penonton pengalaman berkualiti tinggi kelak," katanya.

Tiket konsert maya itu boleh didapati menerusi www.wearelive.asia dan akan ditayangkan secara terhad setiap hujung minggu sepanjang November.

Jumlah tiket ada had maksima dan penonton disarankan membuat pembelian awal.

Sementara itu, penyanyi Hujan, Noh, 36, bersyukur dan terharu konsert fizikal mereka yang berlangsung baru-baru ini di PJPAC, Petaling Jaya, mendapat sambutan luar biasa.

Tiket konsert pada 20, 21, 23 dan 24 Oktober itu habis dijual dan dihadiri lebih 1,300 penonton.

Dihadiri kapasiti 50 peratus penonton setiap hari, ia dilangsungkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menurut Noh, konsert terbabit juga amat bermakna kerana diserikan beberapa rakan artis seperti Hazama, Tuju, Loca B, Ijam Restraint dan Johan The Padangs.

"Sudah hampir dua tahun Hujan tidak membuat konsert di hadapan penonton secara langsung. Saya amat gembira dan berbangga dapat menjalankan konsert Hujan 16 Tahun bersama rakan-rakan seperjuangan.

"Lebih 100 orang terbabit di belakang tadbir untuk menjayakan konsert ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka dan juga semua peminat kerana sentiasa menyokong Hujan," katanya.

Selain Noh, Hujan turut dianggotai AG Coco sebagai pemain gitar utama, Azham Ahmad (dram), dan Izzat Uzaini (bass).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:15 PM