PERSEMBAHAN Syamel yang diiringi Nora Danish turut menarik perhatian.
PERSEMBAHAN Syamel yang diiringi Nora Danish turut menarik perhatian.
Syanty Octavia Amry


Sedih dan puas hati. Itulah dua perasaan yang tergambar dalam diri peserta Akademi Fantasia (AF) 2015, Openg apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam bertemakan rock, Ahad lalu.

Openg atau nama sebenarnya Anthonasius Jadil, 23, ketika ditemui berkata, dia sedih kerana menjadi peserta yang tersingkir, namun berpuas hati kerana berjaya memberikan persembahan terbaik pada minggu penyingkirannya itu.

“Jika minggu-minggu sebelum ini saya melakukan kesilapan dan melalui banyak masalah, persembahan untuk tema rock ini membuatkan saya berpuas hati kerana sudah memberi yang terbaik.

“Namun adat bertanding rezeki tidak berpihak kepada saya untuk bertahan sehingga ke peringkat akhir.

“Jika diizinkan dan diberi peluang saya mahu terus berkarya dan bergiat sebagai anak seni. Selepas ini saya ikut saja apa-apa aktiviti yang diaturkan Astro,” katanya yang menyanyikan lagu You Give Love A Bad Name daripada Bon Jovi.

Tidak hanya Openg, seorang lagi peserta AF turut tersingkir iaitu Faroq yang berasal dari Melaka.

Faroq atau nama sebenarnya Muhammad Amyroulfarouk Mohd Nor, 23, berkata, meskipun tidak terfikir akan tersingkir, namun dia bersyukur kerana rindu hendak melihat dunia luar terubat.

“Mula-mula rasa sedih juga, tetapi mengenangkan lama tidak berjumpa keluarga dan kawan-kawan rasa tidak sabar pula hendak pulang berjumpa mereka.

“Apa pun saya anggap ini semua pengalaman. Walaupun ada rasa tidak puas hati terhadap kelakuan saya selama di AF saya yakin dengan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya.

Turut memeriahkan persembahan pada minggu rock itu ialah Ella dan Kristal serta juri jemputan Awie.

Menariknya pada malam persembahan itu, Bila yang juga anak kepada pemain bass Wings, Eddie diberi kejutan apabila diiringi bapanya serta dua lagi anggota Wings iaitu Joe (gitar) dan Black (dram) ketika menyampaikan lagu Semalam Yang Hangat.

Bila yang sudah lama tidak berjumpa keluarga nyata terharu kerana tidak menyangka berpeluang mengadakan per–sembahan diiringi bapanya.

Selain itu, Sufi membawakan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur daripada Search; Shahrul (Patahnya Sayap Malam - Massa); Syamel (Rahsia Perempuan - Ari Lasso); Iqwan (Suratan Takdir - Gersang); Faroq (Cinta Dewa Dewi - Spider); Rachel (Teman - XPDC) dan Lisa (Kitalah Bintang - Ella).

Dalam pada itu, mengulas mengenai dua penyingkiran pelajar pada minggu ini, Pengetua AF2015 Edry Abdul Halim berkata, dia akur terhadap keputusan itu.

“Sebagai pengetua kalau boleh saya mahu semua pelajar saya bertahan hingga ke final. Namun, adat pertandi–ngan ada peraturannya yang harus kita ikut.

“Seperti minggu ini dua peserta harus disingkirkan dan meskipun sedih saya perlu akur. Apa pun saya lihat per–sembahan semua mereka sangat bagus berbanding minggu sebelumnya.

“Pada minggu ini dapat saya lihat peserta yang malu-malu berani menunjukkan aksi dan begitu menonjol.

“Satu perubahan dan pencapaian yang begitu membanggakan buat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM