Syanty Octavia Amry


Menjelang malam kemuncak program realiti Rockanova yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, pada Rabu ini, empat finalis mengakui debarannya makin terasa apatah lagi saingan kali ini sangat sengit.

Meskipun ada yang meramalkan Mel atau nama sebenarnya Malisa Janudin, 33, akan menjadi juara, masing-masing tetap mahu memberikan persembahan terbaik.

Selain Mel, tiga lagi yang berjaya ke final ialah Azmi, Zarith dan Dian.

Menjadi satu-satunya peserta tunggal lelaki, Azmi, 28, tidak menafikan Mel ialah pesaing terdekatnya. Apatah lagi Mel dilihat cukup selesa dengan genre rock yang diperjuangkan.

“Saya berharap Allah SWT permudahkan segala urusan sepanjang persembahan nanti.

“Dengan ilmu yang saya dapat dan pelajari daripada Datuk Hattan dan Sarah, saya akan buat yang terbaik.

“Soal menang kalah, saya serahkan kepada Allah,” kata Azmi yang terpilih masuk pada minggu ketiga konsert.

Menjadi peserta yang disebut-sebut bakal menyandang gelaran juara memberi tekanan besar buat Mel.

Bagaimanapun, tegas Mel, dia akan terus berusaha memberikan yang terbaik malah segala pengalaman yang diperoleh ketika menyanyi di beberapa kelab terkemuka sebelum ini akan diaplikasikan di pentas akhir nanti.

“Sejak kecil saya sering didedahkan dengan muzik rock dan mungkin itu memberi peluang kepada saya untuk mendalami genre ini dengan mudah.

“Saya terima andai ada yang mengatakan saya bakal menjadi juara tetapi itu bukan alasan untuk berasa selesa sebaliknya perlu melakukan yang terbaik. Lagipun, ini peluang yang sudah lama saya nantikan,” katanya.

Bagi Zarith, 25, pula dapat masuk ke final sudah memberi kemenangan buat dirinya dan tidak meletak harapan tinggi untuk bergelar juara.

“Saya menyertai program ini untuk menimba pengalaman dan sasaran utama adalah untuk ke final.

“Apabila ia jadi kenyataan, saya sudah cukup lega dan persediaan pada malam itu nanti lebih kepada mahu menghiburkan penonton.

“Juara atau tidak, saya tak kisah. Apabila berfikir begini saya akan rasa lebih tenang untuk membuat persembahan nanti,” katanya.

Sementara itu, Dian, 36, antara peserta paling senior berkata cabaran paling besar buatnya adalah perlu bersaing dengan peserta muda dan berbakat.

“Saya sedar dengan usia saya mungkin peserta lain mampu memberikan persembahan yang lebih baik. Namun, saya mahu bersaing secara sihat dan yakin dengan setiap rezeki.

“Saya sentiasa memegang kata-kata juri untuk memperbaiki apa yang perlu. Harapan saya pastilah untuk menjadi juara meskipun ada yang mengatakan Mel bakal juara,” katanya.

Pada konsert akhir nanti setiap peserta akan mempersembahkan dua lagu iaitu secara solo dan battle sesama sendiri.

Konsert itu juga turut menyaksikan pertarungan sengit empat finalis di samping persembahan hebat Wings, Datuk Ramli Sarip, Ella dan Sahara Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:23 AM