Kuala Lumpur: Malaysia menjadi rujukan kepada negara di rantau ASEAN dalam industri pinjaman menerusi pajak gadai mikro kredit Ar-Rahnu yang berlandaskan syariah.

Ketika ini, terdapat 16 entiti yang menjadi pemain industri mikro kredit Ar-Rahnu dengan mencatatkan nilai pembiayaan sehingga RM30 bilion setakat ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ashraf Wajdi Dasuki berkata, Malaysia adalah negara terawal yang memperkenalkan sistem mikro kredit Ar-Rahnu dan ia mula mendapat perhatian daripada negara-negara jiran lain untuk melaksanakan sistem pembiayaan berkenaan.

Beliau berkata, perluasan pelaksanaan sistem pembiayaan itu di peringkat negara-negara asing membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

“Perluasan sistem pinjaman menerusi pajak gadai berlandaskan Syariah membantu kita sebagai umat Islam untuk terus bekerjasama mempraktiskan amalan tanpa riba dalam aktiviti kewangan.

“Selain itu, aktiviti penyelidikan kita dalam industri ini terutama membabitkan isu emas palsu juga giat dijalankan dan usaha ini membolehkan ramai pemain tempatan serta luar negara menjadikan Malaysia sebagai lokasi rujukan mereka,” katanya pada majlis perasmian Forum Ar Rahnu Nasional (Fornasional) di sini, semalam.

Fornasional yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bertujuan bagi menyelaraskan aktiviti dan operasi program Ar-Rahnu, menghubungkan antara kerajaan, swasta dan pelaksana. Hadir sama, wakil-wakil industri dari luar negara antaranya Singapura, Thailand, Indonesia dan Timor Leste.

Sehingga bulan ini, Fornasional dianggotai 52 organisasi terdiri daripada koperasi, institusi pendidikan, perbankan, pengusaha emas, badan bukan kerajaan dan badan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 6:44 AM