Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas tersingkir seawal pusingan kedua di Siri Super Terbuka Jepun, jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dilihat memiliki kelebihan undian agak selesa pada saingan Siri Super Terbuka Korea bermula Selasa ini sekali gus berpeluang merangkul takhta kejuaraan.

Tidak seperti Terbuka Jepun yang menyaksikan undian tidak memihak kepadanya apabila terpaksa bertemu jaguh China Lin Dan seawal pusingan kedua sebelum tewas, laluan di Terbuka Korea tampak lebih mudah.

Ini kerana jika melepasi perlawanan pusingan kelayakan, Chong Wei dijangka bertemu Marc Zwiebler dari Jerman di pusingan pertama dan diramal tidak berdepan masalah bertemu lawan lain selepas itu.

Dengan kata lain, laluan undiannya tidak akan bertemu sama ada Lin Dan mahu pun pemain nombor satu dunia yang juga dari China Chen Long.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen juga yakin Chong Wei pasti mensasarkan untuk mara ke pentas final sekali gus menebus kehampaan di Terbuka Jepun.

“Saya sentiasa percaya bahawa dia mampu melakukannya walaupun hakikatnya laluan yang dilalui tidak mudah.

“Chong Wei masih mempunyai keinginan cukup tinggi dan mungkin antara pemain yang mempunyai corak permainan pantas dan menyerang dengan baik di dunia ketika ini.

“Cuma, dia masih memerlukan masa untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas memenuhi hukuman penggantungan selama lapan bulan.

“Pada masa sama, Chong Wei perlu mengejar mata bagi memperbaiki ranking dunianya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:07 AM