Ferdinand mendakwa permainan United dalam EPL tidak menghiburkan peminat. - PIX C1
Ferdinand mendakwa permainan United dalam EPL tidak menghiburkan peminat. - PIX C1

London: Katakan kepada Louis van Gaal Manchester United tidak lagi menarik dan hambar!

Begitulah pengakuan Rio Ferdinand terhadap permainan dipamer oleh Manchester United sekarang.

Skuad EPL sekarang disifatkannya kurang 'fantasi ledakan' untuk menceriakan peminat dan tiada ada semangat kental untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pemain bek Old Trafford itu menyuarakan rasa kurang selesa dengan falsafah diterap oleh pengurus terbabit termasuk aspek pengurusan dan rasional meletakkan Daley Blind selaku bek tengah.

Malah Ferdinand melabel pengurus antarabangsa Belanda itu satu 'titik lemah'.

Pemenang enam kali EPL bersama United mendakwa Red Devils tidak ada jiwa untuk merampas semula kejuaraan dan kehilangan gaya permainan menyerang diterap pengurus berkarisma Sir Alex Ferguson.

“Segala galanya. Baik dari segi pemain, kakitangan kelab jelas berbeza dan cara mereka bermain.

“Anda sering mengaitkan United dengan kepantasan, kekuatan dan ledakan fantasi di penghujung permainan tetapi ia tidak dapat dilihat lagi sekarang,' katanya di majlis pelancaran Liga Juara Juara BT Sport semalam.

Ferdinand berkata peminat kelab perlu mendidik diri cara menonton perlawanan di stadium dan jangkaan mereka setiap kali melihat United bermain.

Kritikan Ferdinand dibuat menjelang kunjungan musuh ketat lama Liverpool ke gelanggang keramat United esok. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 12:43 PM