Kuala Lumpur: Institut Insurans Malaysia (MII) menyaksikan peningkatan kadar penembusan menerusi sektor insurans hayat dan melihat ia lebih berdaya tahan berbanding insurans lain meskipun berhadapan dengan tekanan ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia (MII), Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, keadaan itu berlaku kerana tindakan membeli insurans dianggap pilihan paling tepat oleh sebilangan masyarakat yang ingin berjimat ketika waktu sukar.

“Angka penembusan insurans hayat menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus pada tahun lalu daripada 41 peratus pada tahun sebelumnya. Malah kami menjangkan ia mampu mencapai sasaran tambahan kira-kira 70 peratus menjelang 2020,” katanya pada sidang media ‘Malaysia Million Dollar Round Table’ (MDRT) 2015, di sini.

Sementara itu, Pengerusi MDRT Malaysia, Norhayati Ramly berkata, Malaysia mempunyai kadar insurans hayat yang sangat rendah dan ia tanggungjawab organisasi untuk meningkatkan kadar itu.

“Terdapat jurang perlindungan yang besar, oleh itu kita perlu merebut peluang ini untuk terus berkembang dan kita mesti melakukannya secara profesional.

“Tujuan program ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai kewujudan MDRT supaya kita dapat melahirkan lebih ramai penasihat profesional dalam industri agar dapat memberi khidmat nasihat pelanggan dengan cara yang lebih professional,” katanya.

Beliau berkata, keanggotaan MDRT diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai piawaian kecemerlangan jualan insurans hayat serta perniagaan perkhidmatan kewangan.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 daripada 81 negara anggota di seluruh dunia dengan peningkatan 2.8 peratus keahlian berbanding 654 ahli pada tahun lalu menjadikan jumlah terbabit kepada seramai 672 orang.

MDRT adalah persatuan bebas antarabangsa dianggotai oleh kira-kira 38,000 perkhidmatan kewangan dan profesional insurans hayat terkemuka dunia yang mewakili 450 syarikat di 81 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:32 AM